Tok Guru Kesayangan Ummah

Selasa, 6 April 2010

PAS selar tindakan Pemuda UMNO Perak


SHAH ALAM - PAS menyelar tindakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Perak menghantar memorandum kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah supaya darjah kebesaran ditarik balik terhadap dua wakil rakyat pembangkang sebagai taktik politik murahan.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, perbuatan mereka seperti kebudak-budakan dengan melibatkan pihak lain dalam agenda politik untuk menyerang pakatan pembangkang.

“Mereka sepatutnya menyerang dengan hujah yang ''gentleman'' melalui saluran yang betul untuk menyelesaikan konflik berbangkit.

“Mereka perlu belajar cara berpolitik mengikut kerangka Perlembagaan yang demokrasi dan Perlembagaan negara,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, terdapat cara lain untuk membantah secara rasional dengan berhujah dan perbahasan matang antara dua pihak terbabit.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda, Ust. Nasarudin Hassan berkata, Pemuda UMNO Perak tidak berhak campur tangan berhubung penganugerahan yang telah diputuskan sultan.

“Tindakan tersebut keterlaluan kerana seolah-olah mengajar dengan mendesak sultan dan institusi istana mempertikaikan anugerah yang telah diberikan.

“Ini memberi implikasi kepada persepsi rakyat terhadap institusi istana yang dihormati,” katanya.

Menurutnya, sebarang pertikaian perlu diselesaikan antara mereka tanpa perlu membabitkan pihak lain untuk turut terlibat dalam konflik terbabit.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penarikan balik darjah kebesaran terbabit wajar dilaksanakan kerana tindakan dua wakil pakatan pembangkang terbabit yang tidak mengikut nasihat sultan dan mempertikai keputusan mahkamah.

“Mereka sepatutnya menjadi contoh namun perilaku tersebut memberi pandangan buruk kepada rakyat sebagai wakil rakyat.

“Bagaimana rakyat nak hormat sekiranya tindakan mereka sendiri tidak menghormati sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan institusi istana,” katanya.

Beliau berkata, keputusan terbabit terpulang kepada sultan dan pihak istana untuk menarik balik atau sebaliknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan