Tok Guru Kesayangan Ummah

Ahad, 30 Mei 2010

MB Selangor selamat

KOTA BHARU – Pemimpin Pakatan Rakyat yakin kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak tergugat walaupun gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil lalu serta dikaitkan dengan amalan rasuah berkaitan urus niaga pasir di negeri itu.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, Khalid tidak mempunyai masalah dalam menerajui kerajaan negeri Selangor dan beliau juga kekal sebagai Pengerusi PKR Selangor.

Katanya, sebagai Menteri Besar Khalid juga mendapat sokongan padu daripada dua parti komponennya iaitu DAP dan Pas.

“Setakat ini tidak ada apa-apa langkah untuk menukar Tan Sri Khalid, kita akan berbincang dengan parti dalam negeri Selangor untuk mendapat pandangan.

“Sebagai MB dia menerajui parti dalam Selangor,” katanya kepada pemberita pada sidang media yang diadakan selepas menyampaikan ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional tahunan ke-6 2009 PKR di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan Khalid sebagai Pengerusi PKR dan menteri Besar berikutan wujud dakwaan amalan rasuah yang melibatkan sebuah syarikat perniagaan pasir kerajaan negeri.

Kenyataan Wan Azizah itu turut disokong oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang menyatakan sokongan penuh Pas terhadap kepimpinan Khalid.

“Kami meletakkan keyakinan penuh terhadap Tan Sri Khalid. Beliau telah melaksanakan tugas dengan baik,” katanya.

Sementara itu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya meletakkan keyakinan yang penuh terhadap Khalid dan tidak mempunyai sebarang masalah berhubung kepimpinannya yang didakwa terlibat dengan amalan rasuah.

“Ia hanya membuka buku untuk siasatan penuh. Ia telah diumumkan oleh Tan Sri Khalid dan Selcat. Ia telah diketahui oleh Teng Chang Khim (Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor).

“Ia tidak dilihat sebagai satu masalah. Soalnya kalau ada laporan tentang rasuah, seperti yang disebut Presiden di dalam ucapannya, kita jangan selindung.

“Kita akan segera siasat. Tak perlu kita tunggu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kita ada mekanisme sendiri,” katanya.

“Setakat ini tidak berbangkit. Cuma ada beberapa pandangan. Kita rujuk kepada ucapan presiden, Menteri Besar dan kepimpinan Selangor, kita mahu disegerakan program yang memberikan faedah kepada rakyat,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan