Tok Guru Kesayangan Ummah

Ahad, 7 Februari 2010

Rakyat Afghanistan kembali sokong Taliban

PENEMUAN mayat seorang perompak jalanan di selatan Afghanistan disambut dengan perasaan lega oleh penduduk tempatan walaupun suspek menjadi mangsa hukuman keras kerajaan bayangan Taliban.

“Mangsa berusia 35 tahun. Dia ditembak kerana merompak orang ramai yang pulang membeli-belah dari bandar,” kata seorang penduduk tempatan, Fazal Haq.

Empat bulan lalu, suspek itu mencuri sebuah motosikal milik seorang anggota Taliban dan akibatnya, dia ditembak di dada dan kepala hingga mati manakala mayatnya ditinggalkan di tepi jalan.

“Pada masa lalu, Taliban melaksanakan keadilan mengikut cara mereka secara jauh dari bandar dan tersembunyi,” kata Fazal.

“Sekarang, mereka berada kurang tiga kilometer dari Muqur dan penduduk tempatan sendiri mencari mereka untuk mendapatkan bantuan menyelesaikan masalah,” katanya.

Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) tahun ini menambah jumlah askar masing-masing sekitar 150,000 orang dalam usaha menukarkan situasi hampir tewas kepada kemenangan di Afghanistan.

Bagaimanapun, keadilan ala Taliban meningkat seiring dengan pertambahan pemberontakan selain kekecewaan rakyat Afghanistan terhadap ketidakberkesanan kerajaan yang dipenuhi rasuah pimpinan Presiden Hamid Karzai.

Baru-baru ini, Hamid dan sekutunya mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai rancangan damai dan jangka masa askar Nato menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada kerajaan tempatan.

Namun, di kebanyakan wilayah, Taliban memiliki jaringan kuasa tersendiri, di mana gabenor, hakim dan ketua polis campur tangan dalam menangani segala permasalahan penduduk.

“Taliban mempunyai kerajaan bayangan di 33 daripada 34 wilayah,” kata pegawai kanan perisikan tentera Nato di Kabul.

Di peringkat kebangsaan, ketua Taliban, Mullah Mohammad Omar memiliki kerajaan bayangan yang bersedia mengambil alih pentadbiran Hamid.

“Kami memiliki gabenor, ketua daerah, mahkamah tentera di setiap wilayah dan mahkamah sivil bagi menguruskan masalah harian,” kata jurucakap Taliban, Yousuf Ahmadi.

Anggota Parlimen wilayah Kandahar, Khalid Pashtun mendakwa rakyat Afghanistan kini sudah beralih kepada Taliban yang pernah digulingkan AS pada lewat 2001.

“Gabenor-gabenor mereka adalah sebahagian daripada rejim Taliban sebelum ia jatuh. Mereka muda, dinamik, penuh keazaman dan berpengaruh. Orang ramai berjumpa mereka kerana keadilan dilaksanakan mereka dibuat dengan pantas dan dilihat berkesan berbanding keadilan normal,” katanya.

Menurutnya, kerajaan hari ini banyak dijejaskan oleh amalan rasuah selain gagal menjalankan tugas diamanahkan.

“Ini menyebabkan rakyat berpaling tadah daripada mereka dan mula mempertimbangkan Taliban,” kata penduduk Kandahar, Ghulam Rasool.

Sebagai contoh, Taliban berjaya menyelesaikan pertikaian dua keluarga yang berlarutan sejak sekian lama dengan mengatur perkahwinan membabitkan anak kepada kedua-dua pihak.

Persengketaan lama yang tercetus sejak tiga tahun lalu di daerah Gurtafa dalam wilayah Kunduz, utara Afghanistan dapat diselesaikan oleh jawatankuasa Taliban dalam beberapa jam dengan mengarahkan bapa sebuah keluarga bertelingkah itu merestui perkahwinan anak perempuannya.

Pihak berkuasa Taliban di daerah Archi berkata, pemberontak kini tidak perlu lagi memotong tangan pencuri atau merejam penzina yang sudah berkahwin hingga mati seperti dituntut dalam undang-undang Syariah kerana kadar jenayah serius yang turun secara mendadak.

“Mereka yang perlu dihukum akan dipukul atau ditahan dalam rumah ketua suku,” kata Ghulam.

Ketika Taliban meluaskan pengaruh, Nato merancang melatih lebih ramai rekrut anggota polis dan askar Afghanistan sebagai persediaan menghadapi pengunduran tentera AS pada pertengahan 2011.

Kabul menggesa pemimpin-pemimpin dunia di London meningkatkan jumlah pasukan keselamatan daripada 190,000 orang kepada 300,000 orang menjelang pertengahan tahun depan.

Hamid juga meminta sokongan terhadap skim bagi memujuk anggota Taliban dan pemberontak lain meletakkan senjata dengan menawarkan ganjaran wang dan pekerjaan.

Namun, rekod kematian askar asing yang meningkat sepanjang konflik setahun lalu dan kegagalan Hamid membanteras rasuah memberikan keyakinan kepada Taliban mengenai kuasa mereka ke atas penduduk Afghanistan untuk menolak perdamaian yang dicadangkan kerajaan.

Seorang lagi penduduk Kandahar, Mohammad Khan berkata, rakyat Afghanistan tidak mempunyai pilihan tetapi perlu akur dengan peraturan Taliban.

“Rakyat takut dengan tindak balas Taliban jika mereka meminta bantuan polis dan sistem perundangan. Taliban menguasai wilayah dan tiada siapa mampu melakukan sesuatu terhadap mereka,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan