Tok Guru Kesayangan Ummah

Ahad, 7 Februari 2010

Zikir mampu mengubat penyakit hati

Oleh Zaharuddin Abd Rahman

SABDA Rasulullah SAW: “Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak daging itu, maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diri manusia terbahagi kepada dua iaitu fizikal dan spiritual. Spiritual termasuk akal, nafsu, perasaan dan yang paling utama ialah hati kerana tindakan, perbuatan, perilaku dan sikap seseorang dipengaruhi olehnya.

Sifat hati pula terbahagi empat iaitu kebuasan, kebinatangan, kesyaitanan dan ketuhanan. Tiga sifat pertama terbabit pula bukan mudah untuk dibuang, malah akibat daripada itu ramai umat Islam kecundang hingga akhirnya melakukan dosa besar.

Manakala sifat terakhir iaitu ketuhanan saja yang akhirnya mampu membawa kita ke jalan benar dan diredai Allah SWT, tetapi bukan mudah melakukannya kerana hanya yang benar-benar mahu berubah mampu melaksanakannya.

Secara umumnya, untuk membersihkan hati yang kotor, kita hendaklah membiasakan diri dengan berzikir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT.

Hati juga boleh diubati dengan mengamalkan beberapa perkara iaitu membaca al-Quran dan memahami serta mentadabbur maksudnya, meningkatkan amalan solat sunat pada waktu malam dan banyakkan menangis bertaubat kepada Allah SWT, berkawan dengan orang soleh juga alim ulama.

Selain itu, amalan lain ialah membiasakan diri dengan berpuasa sunat, kerap berzikir waktu siang atau malam serta sentiasa mengingati mati.

Penyakit paling berbahaya bagi hati ialah menyekutukan Allah SWT dengan yang lain, mendustakan kebenaran, hasad dengki terhadap sesama manusia, benci, dendam, bongkak, sombong, angkuh dan pelbagai lagi.

Lawan daripada menyucikan atau membersihkan hati ialah mengotorinya. Seseorang yang beriman hendaklah selalu mengutamakan kebersihan luaran juga dalaman diri kerana kekotoran akan membuka segala pintu kejahatan.

Contoh bukti kekotoran jiwa ialah perbuatan kaum Thamud yang tidak mengutamakan nilai-nilai budi dan kesopanan, meminum arak, malah melakukan zina secara terang-terangan.

Renungi firman Allah SWT dalam Surah al-A’raaf, ayat 179: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati tetapi tidak mahu memahami dengannya ayat-ayat Allah.

“Dan yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya bukti keesaan Allah dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya ajaran dan nasihat, mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai.”M/H

Tiada ulasan:

Catat Ulasan