KOTA BHARU - Dewan Pemuda Pas Kelantan mencabar Pemuda UMNO negeri mengambil tindakan terhadap Tengku Razaleigh Hamzah sekiranya fakta yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang berkenaan isu royalti minyak adalah salah.
Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, Pemuda UMNO patut membuktikan bahawa mereka tidak bercakap kosong dan membuat kecaman di dada akhbar seperti mana yang berlaku kebelakangan ini.
“Pemuda UMNO harus buktikan bahawa mereka tidak bercakap kosong dengan menyatakan bahawa rakyat Kelantan tidak diperbodohkan oleh pemimpin seperti Ku Li sekali gus menafikan Pemuda UMNO hanya ibarat ayam berkokok ekor bergelumang tahi,” katanya.
Abdul Latif turut menyarankan agar Ku Li mengambil tindakan keluar dari UMNO dan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat terutamanya Pas yang terbukti istiqamah dan komited dalam memperjuangkan kebajikan dan hak rakyat.
Dalam perkembangan lain, Abdul Latif berkata, pihaknya bercadang agar Gerakan Bertindak Royalti Rakyat (Gegar) menganjurkan satu perhimpunan yang lebih besar di Kuala Lumpur yang melibatkan Ku Li dan pemimpin PR.
Di ALOR SETAR, Dewan Pemuda Pas Kedah membidas UMNO yang hanya berdiam diri terhadap tindakan Ku Li.
Ketuanya, Ahmad Yahya berkata, sikap berdiam diri itu membuktikan parti itu adalah pengecut untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap anggotanya.
“Saya hairan kenapa UMNO tidak merujuk Tengku Razaleigh kepada Lembaga Disiplin parti itu memandangkan pandangan beliau dalam isu royalti minyak tidak berpihak kepada UMNO,” katanya.
Ahmad berkata, UMNO seharusnya mencontohi pimpinan Pakatan Rakyat yang menghadapkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin dan Ahli Parlimen Bayan Bayu, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim kepada Lembaga Disiplin, ekoran lantang mengkritik anggota parti sendiri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan