Tok Guru Kesayangan Ummah

Rabu, 6 April 2011

PILIHANRAYA NEGERI SERAWAK


Peluang PAS cerah di Beting Maro

Nazri Abdullah   

BATANG LUPAR, 5 April: Peluang PAS untuk merampas Dun Beting Maro pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini dilihat cerah ekoran pergaduhan dalaman melanda BN.
Utusan Borneo hari ini melaporkan, penyokong BN di kawasan tersebut berbalah sesama sendiri ekoran tidak berpuas hati dengan pemilihan Razaili Gapor sebagai calon.
Rasa tidak puas hati itu diluahkan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sendiri yang mendakwa pemilihan Razaili dibuat tanpa rundingan dengan ahli parti di peringkat akar umbi.
Mereka yang bersama BN sejak 30 tahun dahulu itu mahukan calon pilihan mereka sendiri iaitu Mohd Eden Mohd Ali namun ditolak pemimpin BN.
Sementara itu, tinjauan Harakahdaily ke beberapa kawasan termasuk di rumah panjang Kampung Matong di sini mendapati, suara-suara tidak puas hati kepada BN memang wujud.
Sehinggakan mereka secara terbuka mengumumkan untuk memilih calon PAS pada hari pengundian 16 April ini.

Selasa, 29 Mac 2011

LOTERI TETAP HARAM

KOTA BHARU - Kerajaan Pas Kelantan mengekalkan pengharaman penjualan tiket judi ‘Big Sweep’ di dalam atau di luar premis selepas Penasihat Undang-Undang Negeri mendapati ia tidak bertentangan dengan Undang-Undang Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Exco semalam dan mendapati ia selaras dengan Seksyen 9 Akta Kerajaan Tempatan di mana Kerajaan Negeri boleh memberikan arahan kepada pihak berkuasa tempatan supaya melaksanakan dasar ditetapkan.

Menurutnya, Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Azlan Abdul Halim bersetuju tindakan Kerajaan Negeri selepas melihat semula pengharaman itu dari aspek perundangan sebaik sahaja diarahkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Kerajaan Negeri mengambil keputusan tidak membenarkannya tiket itu dijual sama ada dalam premis atau luar premis,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, memiliki tiket judi bukan kesalahan dan tiga premis diserbu di kompaun dan mereka dibenarkan mengambil balik tiket loteri itu jika untuk kegunaan sendiri.
Takiyuddin berkata, pengharaman itu dikekalkan berdasarkan keadaan persekitaran di negeri ini dan tidak membabitkan negeri lain.

Dalam mesyuarat khas pemimpin dengan rakan daripada Pakatan Rakyat, Menteri Besar Kelantan menerusi Setiausaha Akhbarnya, memberitahu pemberita status penjualan loteri tanpa premis diteliti dengan merujuk kepada penasihat undang-undang.

SUMBER: SINAR HARIAN

Selasa, 28 September 2010

UMNgOk tentang JUDI?...kah kah

UMNO dengan judi macam kembar siam
Oleh: Ust Idris Ahmad

PAS merasa hairan tindak tanduk pemimpin Umno yang menuduh Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang memberi RM100 wang ehsan kepada warga emas telah diambil daripada sumber judi.

Tuduhan itu dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mendedahkan kerajaan Pulau Pinang menerima sumbangan sebanyak RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang merupakan sebuah kelab yang mengendalikan pertaruhan lumba kuda di negeri itu.

Bagaimanapun, Lim Guan Eng berkali-kali menafikan dakwaan itu, dan Setiausaha Politiknya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar, Ng Wei Aik membuat laporan ke atas penulis blog itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Malahan Ketua Menteri Pulau Pinang menjelaskan wang ini ialah daripada lebihan perbelanjaan kerajaan Pulau Pinang hasil daripada jimat cermat sebanyak RM35.41 juta, daripada sinilah diambil RM20 juta untuk diagihkan kepada warga emas

 PAS sebagai sebuah Parti Islam yang berdasarkan kepada Islam, tidak mengiktiraf judi sebagai sumber yang sah, malahan ketika PAS mula memerintah Kelantan 1990, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengarahkan supaya jangan ada lagi premis di Kelantan dibenarkan menjalankan aktiviti judi.

Tindakan ini dibuat apabila Tuan Guru Nik Aziz diberitahu oleh semua tokoh agama Kristian, Hindu dan Bhuda, judi adalah haram di sisi agama mereka.

PAS berpandangan Umno dengan judi ini seperti kembar siam yang sukar dipisahkan. Malahan daripada awal lagi Umno sudah hidup dengan judi. Ini terbukti apabila kalangan ulamak di dalam Umno membantah loteri kebajikan adalah haram.

Pemimpin Umno tidak mempedulikan bantahan ulamak dalam Umno, berakhir dengan episod penubuhan PAS pada 24 November 1951. Sampai sekarang kita tidak dengar suara membantah secara agresif dalam Umno supaya judi dihapuskan, malahan baru sahaja kerajaan Umno BN meluluskan lesen judi bola 2010 sempena pertandingan Piala Dunia kepada syarikat Ascot Sport Tan Sri Vincent Tan, Berjaya Group pada 6 Mei 2010.

PAS mendesak Umno kena berusaha dahulu membersihkan diri daripada najis judi kerana membiarkan orang Melayu menjadi Lembaga Pengarah Resort Wold Bhd dan Genting Berhad.

Sepatutnya pemimpin Umno kena sedar bahawa “bapa judi” ialah kerajaan pusat di bawah pimpinan Umno BN. Perjuangan untuk menghapuskan judi perlu dimusnah di peringkat pusat. Bapa jangan marah kalau anak ketagih judi, kerana bapa adalah taik judi. Sepatutnya ini yang perlu diselesaikan dahulu oleh pemimpin Umno.

Jangan biarkan orang bukan Islam tertawa dengan Umno, kalau hendak bercakap bab judi biarlah kamu itu tinggal dulu menjadi pendokong kerajaan judi.

PAS berpandangan Umno yang memang mempolitikkan apa sahaja peluang untuk menaruh kebencian rakyat kepada kerajaan Pakatan Rakyat dan melaga-lagakan isu agama dan kaum supaya Pakatan Rakyat retak dan senang untuk BN meluluskan banyak lagi lesen judi.

Kebiasaannya, suatu hukum akan berubah apabila pemimpin Umno buat. Contohnya, judi halal kalau yang buat itu ialah kerajaan Umno BN, tetapi berubah menjadi haram kalau lain daripada kerajaan Umno BN.

Begitu juga hukum orang bukan Islam masuk masjid menjadi haram kerana  berhadas besar kalau Cina DAP, tetapi suci lagi menyucikan jika yang masuk itu India MIC, Kamalanathan, ahli parlimen Hulu Selangor.

Isnin, 27 September 2010

ADUN Galas kembali ke Rahmatullah

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Adun Galas, Chek Hashim Sulaima, 47, kembali ke rahmatullah di Pusat Rawatan Islam Kampung Baru, di sini, kira-kira jam 4.30 petang ini.

Allahyarham yang mengidap penyakit barah di bahagian paru-paru menjalani rawatan di hospital berkenaan sejak hampir seminggu lalu.

Sebelum itu beliau menjalani rawatan perubatan tradisional Cina di Serdang.

Allahyarham dikesan menghidap penyakit berkenaan sejak dua tahun lalu dan pernah mendapat rawatan beberapa bulan di China.

Pada Ramadan tahun lepas, beliau menjalani rawatan di Orient Hospital Guanzhong. Sebelum itu Chek Hashim  mendapat rawatan awal di The First People's Hospital juga di Guanzhong.

Keadaan kesihatannya agak serius sebelum itu. Kepulangannya daripada menjalani rawatan di China tahun lepas disambut wakil-wakil rakyat dan penduduk Gua Musang.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Mac lalu beliau turut hadir. Bagaimanapun pada persidangan Jun lalu beliau mohon bercuti.

Dan pada Julai lalu, Adun Galas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan petang 26 Julai lalu selepas tiga hari pulang dari menjalani rawatan kemoterapi di sebuah hospital di China.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mewakili seluruh kepimpinan dan ahli PAS seluruh negara merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Che Hashim dan rakyat di Dun Galas di atas pemergian Almarhum.

"Sesungguhnya Almarhum adalah seorang yang gigih menjalankan tugas dan komited dengan perjuangan. Marilah sama-sama kita berdoa agar roh beliau dirahmati oleh Allah," ujarnya dalam kenyataan ringkas.

Isnin, 30 Ogos 2010

Merdeka: Bebas bangsa daripada penjajahan minda

SHAH ALAM, 30 Ogos: Kemerdekaan sebenar adalah membebaskan bangsa dari belenggu penjajahan minda yang terikat dengan ketidakadilan yang diperjuangkan di dalam membela nasib sesuatu bangsa, tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, itulah antara amalan jahiliah yang masih diteruskan oleh Umno selama ini sedangkan kedatangan Islam telah menunjukkan jalan terbaik kepada umat Islam bagaimana bentuk perjuangan politik mereka.

Di dalam hal ini, ujarnya, bangsa Melayu wajar mengambil ajaran Islam sebagai tonggak perjuangan kehidupan mereka dalam usaha memastikan pemerkasaan bangsa berjaya ditegakkan dan keadaan sebaliknya terus berlaku jika mereka enggan.

Tuan Guru Abdul Hadi menyatakan demikian ketika menyampaikan tazkirah sempena Ramadhan sebelum majlis berbuka puasa di Markas PAS Seksyen 18 dekat sini petang semalam. Turut hadir adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad selaku Yang Dipertua dan AJK PAS kawasan.

Tambahnya, penurunan Al-Quran sendiri secara berperingkat selama 23 tahun adalah untuk menjawab semua persoalan semasa yang timbul di dalam mana-mana masyarakat sebelum, semasa dan selepas zaman Nabi Muhammad s.a.w.

“Akibat dari meninggalkan ajaran dan hukum Al-Quran kini terbukti semua agama selain Islam, isme, ideologi dan kepercayaan telah tidak relevan sekarang ini dan ternyata gagal untuk menangani segala isu semasa dan konflik masyarakat.

“Justeru, inilah masa terbaik untuk umat Islam bermuhasabah diri dan kembali mengambil jalan Islam apatah lagi di dalam bulan Ramadhan ini yang penghujung natijahnya, semua umat Islam mengharapkan mendapat anugerah takwa,” ujarnya.

Sementara itu di dalam satu lagi majlis selepas itu, Tuan Guru menyatakan, hanya dengan Islam sahaja bangsa Melayu akan mendapat kekuatan baharu yang kehilangan sejak sekian lama akibat tersalah memilih wadah perjuangan siasah.

Menurutnya, ketika zaman Nabi Muhammad, semua kaum dan bangsa dapat berhimpun di bawah payung Islam di Madinah dalam keadaan semua bangsa lain boleh hidup dalam keadaan aman damai sedangkan Islam berkuasa di situ.

“Inilah keadilan yang Islam perjuang dan berjaya tunjukkan serta memberikan hak kepada semua yang berhak termasuk tidak mengganggu gugat kehidupan bukan Islam ketika itu, inilah juga iktibar yang mesti dilihat oleh umat Islam masa kini,” tambahnya.

Ketika mengungkapkan kisah kenapa Nabi berhutang dengan Yahudi, tidak dengan ramai sahabat yang kaya, Tuan Guru Presiden menyebutkan bagaimana hasil bergaul baik dengan mereka yang bukan Islam menyebabkan mereka menganut Islam kerana terpikat dengan akhlak Islam.

Begitu juga ketika Peristiwa Pembukaan Kota Makkah, Nabi memerdekakan semua mereka yang tewas dengan pengampunan dan pembebasan sekaligus menolak dakwaan Islam ganas sedangkan di dalam revolusi selain Islam, meragut jutaan nyawa termasuk mereka yang tidak berdosa.

Dengan sikap terbuka dan rahmatnya mendahului tindakan yang ditunjukkan oleh Nabi itu, Islam telah berjaya menarik sokongan banyak pihak dari bangsa yang berbagai seperti Salman AlFarisi, Suhaib Ar-Rumi dan Bila AlHabsyi termasuk bukan Islam yang hidup aman sejahtera.

Kerajaan Kelantan saman Petronas

KUALA LUMPUR - Kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di Mahkamah Tinggi di sini berhubung dakwaan melanggar kontrak.

Saman difailkan di Bahagian Pendaftaran Perdagangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pagi ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota-anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Saman itu turut melibatkan beberapa isu Perlembagaan. - Bernama

Selasa, 10 Ogos 2010

Perutusan Khas Ramadhan 1431H:TGNA

Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).
- Surah al-Baqarah, ayat 185

Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah

Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.


TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA
DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 10 Ogos 2010 / 29 Syaaban 1431