Tok Guru Kesayangan Ummah

Selasa, 28 September 2010

UMNgOk tentang JUDI?...kah kah

UMNO dengan judi macam kembar siam
Oleh: Ust Idris Ahmad

PAS merasa hairan tindak tanduk pemimpin Umno yang menuduh Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang memberi RM100 wang ehsan kepada warga emas telah diambil daripada sumber judi.

Tuduhan itu dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mendedahkan kerajaan Pulau Pinang menerima sumbangan sebanyak RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang merupakan sebuah kelab yang mengendalikan pertaruhan lumba kuda di negeri itu.

Bagaimanapun, Lim Guan Eng berkali-kali menafikan dakwaan itu, dan Setiausaha Politiknya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar, Ng Wei Aik membuat laporan ke atas penulis blog itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Malahan Ketua Menteri Pulau Pinang menjelaskan wang ini ialah daripada lebihan perbelanjaan kerajaan Pulau Pinang hasil daripada jimat cermat sebanyak RM35.41 juta, daripada sinilah diambil RM20 juta untuk diagihkan kepada warga emas

 PAS sebagai sebuah Parti Islam yang berdasarkan kepada Islam, tidak mengiktiraf judi sebagai sumber yang sah, malahan ketika PAS mula memerintah Kelantan 1990, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengarahkan supaya jangan ada lagi premis di Kelantan dibenarkan menjalankan aktiviti judi.

Tindakan ini dibuat apabila Tuan Guru Nik Aziz diberitahu oleh semua tokoh agama Kristian, Hindu dan Bhuda, judi adalah haram di sisi agama mereka.

PAS berpandangan Umno dengan judi ini seperti kembar siam yang sukar dipisahkan. Malahan daripada awal lagi Umno sudah hidup dengan judi. Ini terbukti apabila kalangan ulamak di dalam Umno membantah loteri kebajikan adalah haram.

Pemimpin Umno tidak mempedulikan bantahan ulamak dalam Umno, berakhir dengan episod penubuhan PAS pada 24 November 1951. Sampai sekarang kita tidak dengar suara membantah secara agresif dalam Umno supaya judi dihapuskan, malahan baru sahaja kerajaan Umno BN meluluskan lesen judi bola 2010 sempena pertandingan Piala Dunia kepada syarikat Ascot Sport Tan Sri Vincent Tan, Berjaya Group pada 6 Mei 2010.

PAS mendesak Umno kena berusaha dahulu membersihkan diri daripada najis judi kerana membiarkan orang Melayu menjadi Lembaga Pengarah Resort Wold Bhd dan Genting Berhad.

Sepatutnya pemimpin Umno kena sedar bahawa “bapa judi” ialah kerajaan pusat di bawah pimpinan Umno BN. Perjuangan untuk menghapuskan judi perlu dimusnah di peringkat pusat. Bapa jangan marah kalau anak ketagih judi, kerana bapa adalah taik judi. Sepatutnya ini yang perlu diselesaikan dahulu oleh pemimpin Umno.

Jangan biarkan orang bukan Islam tertawa dengan Umno, kalau hendak bercakap bab judi biarlah kamu itu tinggal dulu menjadi pendokong kerajaan judi.

PAS berpandangan Umno yang memang mempolitikkan apa sahaja peluang untuk menaruh kebencian rakyat kepada kerajaan Pakatan Rakyat dan melaga-lagakan isu agama dan kaum supaya Pakatan Rakyat retak dan senang untuk BN meluluskan banyak lagi lesen judi.

Kebiasaannya, suatu hukum akan berubah apabila pemimpin Umno buat. Contohnya, judi halal kalau yang buat itu ialah kerajaan Umno BN, tetapi berubah menjadi haram kalau lain daripada kerajaan Umno BN.

Begitu juga hukum orang bukan Islam masuk masjid menjadi haram kerana  berhadas besar kalau Cina DAP, tetapi suci lagi menyucikan jika yang masuk itu India MIC, Kamalanathan, ahli parlimen Hulu Selangor.

Isnin, 27 September 2010

ADUN Galas kembali ke Rahmatullah

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Adun Galas, Chek Hashim Sulaima, 47, kembali ke rahmatullah di Pusat Rawatan Islam Kampung Baru, di sini, kira-kira jam 4.30 petang ini.

Allahyarham yang mengidap penyakit barah di bahagian paru-paru menjalani rawatan di hospital berkenaan sejak hampir seminggu lalu.

Sebelum itu beliau menjalani rawatan perubatan tradisional Cina di Serdang.

Allahyarham dikesan menghidap penyakit berkenaan sejak dua tahun lalu dan pernah mendapat rawatan beberapa bulan di China.

Pada Ramadan tahun lepas, beliau menjalani rawatan di Orient Hospital Guanzhong. Sebelum itu Chek Hashim  mendapat rawatan awal di The First People's Hospital juga di Guanzhong.

Keadaan kesihatannya agak serius sebelum itu. Kepulangannya daripada menjalani rawatan di China tahun lepas disambut wakil-wakil rakyat dan penduduk Gua Musang.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Mac lalu beliau turut hadir. Bagaimanapun pada persidangan Jun lalu beliau mohon bercuti.

Dan pada Julai lalu, Adun Galas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan petang 26 Julai lalu selepas tiga hari pulang dari menjalani rawatan kemoterapi di sebuah hospital di China.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mewakili seluruh kepimpinan dan ahli PAS seluruh negara merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Che Hashim dan rakyat di Dun Galas di atas pemergian Almarhum.

"Sesungguhnya Almarhum adalah seorang yang gigih menjalankan tugas dan komited dengan perjuangan. Marilah sama-sama kita berdoa agar roh beliau dirahmati oleh Allah," ujarnya dalam kenyataan ringkas.

Isnin, 30 Ogos 2010

Merdeka: Bebas bangsa daripada penjajahan minda

SHAH ALAM, 30 Ogos: Kemerdekaan sebenar adalah membebaskan bangsa dari belenggu penjajahan minda yang terikat dengan ketidakadilan yang diperjuangkan di dalam membela nasib sesuatu bangsa, tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, itulah antara amalan jahiliah yang masih diteruskan oleh Umno selama ini sedangkan kedatangan Islam telah menunjukkan jalan terbaik kepada umat Islam bagaimana bentuk perjuangan politik mereka.

Di dalam hal ini, ujarnya, bangsa Melayu wajar mengambil ajaran Islam sebagai tonggak perjuangan kehidupan mereka dalam usaha memastikan pemerkasaan bangsa berjaya ditegakkan dan keadaan sebaliknya terus berlaku jika mereka enggan.

Tuan Guru Abdul Hadi menyatakan demikian ketika menyampaikan tazkirah sempena Ramadhan sebelum majlis berbuka puasa di Markas PAS Seksyen 18 dekat sini petang semalam. Turut hadir adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad selaku Yang Dipertua dan AJK PAS kawasan.

Tambahnya, penurunan Al-Quran sendiri secara berperingkat selama 23 tahun adalah untuk menjawab semua persoalan semasa yang timbul di dalam mana-mana masyarakat sebelum, semasa dan selepas zaman Nabi Muhammad s.a.w.

“Akibat dari meninggalkan ajaran dan hukum Al-Quran kini terbukti semua agama selain Islam, isme, ideologi dan kepercayaan telah tidak relevan sekarang ini dan ternyata gagal untuk menangani segala isu semasa dan konflik masyarakat.

“Justeru, inilah masa terbaik untuk umat Islam bermuhasabah diri dan kembali mengambil jalan Islam apatah lagi di dalam bulan Ramadhan ini yang penghujung natijahnya, semua umat Islam mengharapkan mendapat anugerah takwa,” ujarnya.

Sementara itu di dalam satu lagi majlis selepas itu, Tuan Guru menyatakan, hanya dengan Islam sahaja bangsa Melayu akan mendapat kekuatan baharu yang kehilangan sejak sekian lama akibat tersalah memilih wadah perjuangan siasah.

Menurutnya, ketika zaman Nabi Muhammad, semua kaum dan bangsa dapat berhimpun di bawah payung Islam di Madinah dalam keadaan semua bangsa lain boleh hidup dalam keadaan aman damai sedangkan Islam berkuasa di situ.

“Inilah keadilan yang Islam perjuang dan berjaya tunjukkan serta memberikan hak kepada semua yang berhak termasuk tidak mengganggu gugat kehidupan bukan Islam ketika itu, inilah juga iktibar yang mesti dilihat oleh umat Islam masa kini,” tambahnya.

Ketika mengungkapkan kisah kenapa Nabi berhutang dengan Yahudi, tidak dengan ramai sahabat yang kaya, Tuan Guru Presiden menyebutkan bagaimana hasil bergaul baik dengan mereka yang bukan Islam menyebabkan mereka menganut Islam kerana terpikat dengan akhlak Islam.

Begitu juga ketika Peristiwa Pembukaan Kota Makkah, Nabi memerdekakan semua mereka yang tewas dengan pengampunan dan pembebasan sekaligus menolak dakwaan Islam ganas sedangkan di dalam revolusi selain Islam, meragut jutaan nyawa termasuk mereka yang tidak berdosa.

Dengan sikap terbuka dan rahmatnya mendahului tindakan yang ditunjukkan oleh Nabi itu, Islam telah berjaya menarik sokongan banyak pihak dari bangsa yang berbagai seperti Salman AlFarisi, Suhaib Ar-Rumi dan Bila AlHabsyi termasuk bukan Islam yang hidup aman sejahtera.

Kerajaan Kelantan saman Petronas

KUALA LUMPUR - Kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di Mahkamah Tinggi di sini berhubung dakwaan melanggar kontrak.

Saman difailkan di Bahagian Pendaftaran Perdagangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pagi ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota-anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Saman itu turut melibatkan beberapa isu Perlembagaan. - Bernama

Selasa, 10 Ogos 2010

Perutusan Khas Ramadhan 1431H:TGNA

Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).
- Surah al-Baqarah, ayat 185

Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah

Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.


TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA
DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 10 Ogos 2010 / 29 Syaaban 1431

Isnin, 9 Ogos 2010

Ramadan antara ibadah dan adat

Umat Islam seluruh akan melangkah masuk ke bulan Ramadan yang penuh keberkatan beberapa hari sahaja lagi. Rentetan daripada ketibaan Ramadan nanti, suasana baru yang tidak dapat dilihat pada bulan-bulan lain akan mengambil tempat.

Di antaranya menggambarkan ciri ibadah puasa yang sebenar malah ada yang malakukannya sebagai rutin tahunan sahaja, dan amat malang sekali ialah mereka yang tidak mempedulikan langsung akan keadiran bulan yang penuh berkat ini. Oleh itu, umat Islam perlu benar-benar memahami falsafah puasa yang selaras dengan al-Quran dan sunah .

Beberapa perkara yang perlu dielakkan semasa menjalani ibadah puasa antaranya:

*Berpuasa hanyalah dengan menahan makan dan minum sahaja pada siang hari. Sedang mata, hati dan lidah tidak ditahan daripada melakukan dosa. Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala berpuasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya. (riwayat Al-Bukhari)

* Berpuasa pada siang hari sahaja daripada melakukan dosa dan maksiat. Selepas berbuka segala kegiatan maksiat seperti mengumpat, merokok, mencaci, melakukan zina mata diteruskan seperti biasa.

* Berlebih menyediakan juadah berbuka puasa sehingga melakukan pembaziran. Allah berfirman, Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara kepada syaitan. (al-Isra':27)

* Berlebih makan ketika berbuka sehingga meletihkan badan dan menghalang daripada melakukan ibadah di malamnya. Sikap bersederhana Rasulullah s.a.w di dalam berbuka puasa perlu dicontohi sebagaimana maksud hadis: Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rutab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air. (riwayat Abu Daud, Ahmad & Al-Tirmidzi)

* Malas menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah sunat seperti melakukan solat tarawih, solat malam dan sebagainya.

* Terdorong untuk bersolat tarawih hanya kerana sandaran kepada hadis palsu yang menyatakan kelebihan bersolat tarawih pada setiap malam. Untuk itu, pihak berkuasa agama perlu menghindarkan penyebaran hadis inidaripada berleluasa seperti tahun-tahun terdahulu.

* Mengabaikan ibadah malam bermula dengan solat berjemaah maghrib, isyak dan tarawih kerana sibuk menonton televisyen atau kerana urusan-urusan lain.

* Malas bekerja dan tidak produktif semasa berpuasa dengan alasan keletihan. Bayangkan bagaimana nabi s.a.w dan para sahabat berperang Badar dengan nisbah 300 melawan 1,000 orang.

* Malas membaca al-Quran atau hanya mengehadkan bacaanpada surah Yasin sahaja. Sedangkan baginda s.a.w senantiasa menyemak dan mengkhatamkan al-Quran sekali di dalam bulan Ramadan dengan Jibril a.s.

* Malas berdoa sedangkan doa orang yang puasa akan dimakbul oleh Allah berdasarkan sabda nabi s.a.w : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak ditolak. (riwayat Ibn Majah).

* Mengabai serta meninggalkan peluang beribadat pada 10 malam terakhir Ramadan kerana sibuk dengan persiapan menyambut hari raya.

* Tidak bersedih dengan berakhirnya bulan Ramadan. Juga tidak bimbang sekiranya tidak dapat bertemu Ramadan yang akan datang.

* Memiliki kepercayaan-kepercayaan karut tentang kepulangan roh orang yang telah mati pada bulan Ramadan. Sedangkan kepercayaan tersebut adalah bertentangan dengan konsep roh dan alam barzakh (al-Mukminun: 99-100)

* Kepercayaan kepada perlunya menyalakan pelita pada malam 7 likur. Akibat kepercayaan ini Islam telah terfitnah dengan tohmahan pihak tertentu yang mengatakan malaikat orang Islam rabun malam. Oleh sebab itu, pelita perlu dinyalakan sebagai panduan kepada para malaikat yang turun membawa berkat. (Rujuk- http://youtube.com/watch?v=RgT-_Uf62rk)

* Tidak menunaikan sembahyang fardu ketika berpuasa atau hanya bersolat pada bulan Ramadan sahaja. Sabda nabi s.a.w : Beza di antar seorang Muslim dengan syirik serta kekufuran adalah meninggalkan solat. (riwayat Muslim). Menurut sebahagian ulama salaf, orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dihukum kafir. Maka sudah pasti amalan puasa orang yang kafir tidak akan diterima oleh Allah.

* Memusnahkan pahala puasa sebulan dengan sambutan hari raya yang melampau sehingga melakukan maksiat.

Hal ini merupakan beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh umat Islam semasa menjalani ibadat puasa yang boleh merendahkan martabat bulan Ramadan.

Sayugianyalah, bagi menjamin pahala dan ganjaran yang dijanjikan Allah, hendaklah kita menjauhi perkara-perkara di atas.
Ini berdasarkan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lepas. (riwayat al-Bukhari)

Rabu, 30 Jun 2010

7 KELEBIHAN KEPADA PENCINTA AL-QURAN

1. Tidak nyanyuk sampai hari tua ;

2. Orang tua yang mengamalkan Quran diumpamakan macam Quran buruk, lunyai, hancur, tetap disayangi, tetap dihargai. Orang masih menghormati dan mencintainya serta meletakkannya di tempat yang baik-baik. MasyaAllah! How true this is, I've seen with my very own eyes the evidence of this.


3. Orang yang mencintai al-Quran tidak perlu susah hati dengan usia tua, kalau tidak ada anak yang dapat menjaga dirinya, tetap akan ada orang yang Allah datangkan untuk menjaganya kerna ini adalah janji Allah kepada hamba-hamba NYA yang menjunjung kemuliaan mukjizat. Golongan ini dalam pengawasan para malaikat;


4. Orang yang junjung al-Quran dalam dirinya akan dijaga keselamatannya oleh Allah di dunia, di dalam kubur dan pada hari akhirat (ini untung 3 alam wahai para sahabatku!!!)


5. Wajahnya bercahaya-cahaya dan mesra untuk didekati;


6. Orang yang membaca al-Quran tidak dihina . Dia tidak akan menjadi peminta sedekah atau makan sampah di jalanan, misalnya.


7. Pengamal al-Quran hidupnya tampak sederhana tetapi sebenarnya dia kaya dengan sumber rezeki yang tidak diduga. Inilah lambang keberkatan yang Allah hadiahkan kepadanya. MasyaAllah!!!


Kita tak nak ke semua yang di atas tu???? Mesti mau kan??? Jadi, marilah kita sama-sama berusaha untuk menjadi bukan saja blogger tegar malah jauh lebih baik pengamal al-Quran yang tegar :))


Allah Maha Pengasih dan Penyayang kerana Dia telah menjamin orang yang selalu membaca al-Quran akan diberi ketenangan. Al-Quran ni Allah jamin boleh membelah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi! Apatah lagi kulit kita yang nipis ni lagi mudah ditembusi dengan mukjizat ayat-ayat al-Quran.

Quran ini hidup. Dia ada roh. Dia kenal siapa yang mendampinginya. Apabila roh Quran telah bersatu dengan si pembaca, ia bagaikan suasana antara ibu dan anak - terlalu sayang. Apabila begitu, Al-Quran akan menjaga orang yang menghargainya bukan saja di dunia malah di alam kubur dan juga di akhirat. Dia akan bantu kita di dalam 3 alam yang berbeza!



Al-Quran menjamin ketenangan kita di dunia, dijaganya kita daripada seksa kubur, disinarnya kubur kita dengan cahaya dan dilapangkan kubur kita hinggalah hari kiamat. Begitulah setianya al-Quran kepada kita kalau kita memilihnya menjadi sahabat sejati kita yang hakiki.


Tapi kalau sebaliknya kita tak pernah langsung nak pegang al-Quran apa lagi nak baca dan amalkan suruhannya, maka jadilah kita antara sia yang dilaknat oleh Al-Quran (Na'uzubillai minzaalik). Dan tanda al-Quran melaknat manusia:



1. Di depan orang kita disanjung tetapi di belakang orang kita dihina dan dikutuk;


2. Rezeki tak pernah cukup;


3. Rumahtangga tidak tenang;


4. Semua orang kita anggap musuh.


Mudah-mudahan kita tak termasuk dalam golongan yang empat ni.

Jumaat, 4 Jun 2010

Demonstrasi Bantahan Kekejaman Yahudi di MASJID HADHARI, JERTIH

JERTIH 4 Jun- DPPKB dan PAS Kawasan Besut (PKB) berjaya menganjurkan demonstrasi aman bagi membantah kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel. Demonstrasi ini diadakan di perkarangan Masjid Hadahari, Jertih. Beberapa Pimpinan utama PKB turut hadir bagi menjayakan program ini.

Demo ini diakhiri dengan ucapan YDP Kawasan Besut. Sebagai tanda bantahan terhadap Israel peserta demo telah membakar bendera Israel, ini simbolik kebencian kita terhadap negara haram Israel.



peserta-peserta memegang sepanduk yang menyatakan tanda kebencian terhadap israel.

Ahad, 30 Mei 2010

MB Selangor selamat

KOTA BHARU – Pemimpin Pakatan Rakyat yakin kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak tergugat walaupun gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil lalu serta dikaitkan dengan amalan rasuah berkaitan urus niaga pasir di negeri itu.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, Khalid tidak mempunyai masalah dalam menerajui kerajaan negeri Selangor dan beliau juga kekal sebagai Pengerusi PKR Selangor.

Katanya, sebagai Menteri Besar Khalid juga mendapat sokongan padu daripada dua parti komponennya iaitu DAP dan Pas.

“Setakat ini tidak ada apa-apa langkah untuk menukar Tan Sri Khalid, kita akan berbincang dengan parti dalam negeri Selangor untuk mendapat pandangan.

“Sebagai MB dia menerajui parti dalam Selangor,” katanya kepada pemberita pada sidang media yang diadakan selepas menyampaikan ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional tahunan ke-6 2009 PKR di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan Khalid sebagai Pengerusi PKR dan menteri Besar berikutan wujud dakwaan amalan rasuah yang melibatkan sebuah syarikat perniagaan pasir kerajaan negeri.

Kenyataan Wan Azizah itu turut disokong oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang menyatakan sokongan penuh Pas terhadap kepimpinan Khalid.

“Kami meletakkan keyakinan penuh terhadap Tan Sri Khalid. Beliau telah melaksanakan tugas dengan baik,” katanya.

Sementara itu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya meletakkan keyakinan yang penuh terhadap Khalid dan tidak mempunyai sebarang masalah berhubung kepimpinannya yang didakwa terlibat dengan amalan rasuah.

“Ia hanya membuka buku untuk siasatan penuh. Ia telah diumumkan oleh Tan Sri Khalid dan Selcat. Ia telah diketahui oleh Teng Chang Khim (Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor).

“Ia tidak dilihat sebagai satu masalah. Soalnya kalau ada laporan tentang rasuah, seperti yang disebut Presiden di dalam ucapannya, kita jangan selindung.

“Kita akan segera siasat. Tak perlu kita tunggu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kita ada mekanisme sendiri,” katanya.

“Setakat ini tidak berbangkit. Cuma ada beberapa pandangan. Kita rujuk kepada ucapan presiden, Menteri Besar dan kepimpinan Selangor, kita mahu disegerakan program yang memberikan faedah kepada rakyat,” katanya.

Khamis, 27 Mei 2010

Tanah KTMB: Najib jangan berlagak ‘serba tahu’

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 27 Mei: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dinasihatkan agar tidak berlagak seperti 'manusia yang serba tahu' sebaliknya harus merujuk kepada semua pihak sebelum membuat sesuatu keputusan melibatkan kepentingan negara.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, Najib seharusnya berunding dengan semua pihak termasuk dengan Pakatan Rakyat sebelum menyerahkan tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar kepada satu syarikat milik bersama antara Malaysia dan Singapura.

"Datuk Najib sebagai Perdana Menteri tidak boleh berlagak seperti dia malaikat, dan tidak boleh berlagak dia seorang manusia yang serba tahu. Kerajaan sepatutnya merujuk kepada banyak pihak sebelum membuat keputusan penting ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, sebelum perjanjian dibuat dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Kerajaan seharusnya mewujudkan satu jawatankuasa khas parlimen yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik bagi membincangkan perkara ini.

"Sepatutnya kerajaan membuat perjanjian dengan Singapura, ia perlu dirunding dengan banyak pihak di Malaysia. Sepatutnya kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khas di parlimen yang meliputi pelbagai latar belakang politik untuk kita memberikan input yang baik kepada kerajaan," katanya lagi.

Isnin, 3 Mei 2010

Serah wilayah: Husam mahu penjelasan Najib

Harakahdaily

KOTA BHARU, 3 Mei: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak digesa menjelasakan kepada rakyat berhubung bagaimana kabinet Malaysia pada 11 Februari 2009 bersetuju menyerahkan sempadan laut yang mempunyai medan minyak blok L dan M kepada negara Brunei.

Dalam surat terbuka yang penuh persoalan kepada Najib, Exco Kelantan, Datuk Husam Musa turut mempersoal, kenapa Malaysia terlalu mudah melepasakan dua blok minyak di kawasan bertindih itu.

"Jika kita tidak mempunyai hak ke atasnya sama sekali, bagaimana Brunei boleh mengizinkan kita terlibat sama dalam perkongsian pengeluaran bagi kedua-dua blok itu dalam tempoh empat puluh tahun?

"Mengapa pula sebelum ini kita telah menandatangani perjanjian konsesi dengan Murphy Oil jika kita tidak yakin ia adalah milik kita?

"Bukankah selama ini kawasan ini dalam perairan kita dan tiba-tiba kita tidak mempunyai asas yang kukuh untuk terus memilikinya?" soalnya dalam surat tersebut.

Dua blok minyak itu dulunya adalah milik Petronas dan Petronas telah pun menganugerahkan konsesi kawasan ini untuk pengeluaran kepada Petronas Carigali dan Murphy Oil sejak 2003 dan berkuatkuasa bulan April tahun ini, perjanjian konsesi berkenaan terpaksa ditamatkan.

Husam yang juga AJK PAS Pusat turu mempersoal, kenapa tiada penjelasan parlimen dibuat dan rakyat pula tidak dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat kerajaan itu.

Menurutnya, segalanya terbongkar hanya apabila Murphy Oil kepada NYSE membuat kenyataan selepas konsensinya dibatalkan.

"Rakyat berhak untuk tahu apakah sebab politik mendesak sehingga keputusan seperti itu dibuat.

"Adakah ia semata-mata untuk menyenangkan hati Perdana Menteri waktu itu dan seluruh Kabinet menerima keputusan ini walau pun ianya merugikan negara?" soalnya lagi.

Penyerahan itu juga jelas Husam menimbulkan keraguan terhadap tahap tanggungjawab pemimpin negara, bahkan tahap kemampuan mereka membuat keputusan untuk kepentingan negara dengan wajar dan tepat.

"Jika sebiji pulau kecil sebesar Batu Putih kita perjuangkan hingga saluran terakhir, mengapa wilayah sebesar dan sekaya itu kita lepaskan sebegitu mudah?

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang mendedahkan perkara itu mendakwa jumlah kerugian akibat penyerahan itu dalam bentuk perolehan adalah AS$100 bilion (RM320 bilion).

Khamis, 29 April 2010

Keadilan Untuk Aminulrasyid

Oleh Khalid Samad

Pada hari Isnin 26 April, jam 4 petang, saya telah menerima panggilan dari Ustadz Nasaruddin, Pemangku Ketua Pemuda PAS kawasan Shah Alam. Dia memberitahu saya bahawa seorang remaja yang berumur 15 tahun telah ditembak mati oleh Polis di Seksyen 11 Shah Alam awal pagi tadi. Penduduk sedang berkumpul di Surau Seksyen 11 untuk menunggu jenazahnya dan semua menyuarakan ketidak puasan hati atas tindakan Polis. Remaja berkenaan anak salah seorang ahli Qariah yang dikenali masyarakat tempatan




Mendengar berita tersebut saya pun telah bergegas ke Surau berkenaan dan mendapati sudah ramai berkumpul di situ. Saya melihat ramai di antara mereka terdiri daripada remaja belasan tahun. Sebahagian dari mereka menunggu di luar kawasan Surau sambil sebahagian yang lain berada di dalam kawasan Surau tersebut. Setiba sahaja saya, qamat Salat Asr telahpun didengari dan Salat hendak dimulakan. Saya mengambil wudu’ dan seterusnya menyertai jemaah. Setelah selesai salat, saya mendapatkan penjelasan dari Ustadz Nasaruddin mengenai apa yang telah berlaku. Beberapa orang turut mendengar dan memberi penjelasan termasuk seorang penduduk yang telah menyaksikan sendiri peristiwa berkenaan kerana kereta yang dipandu arwah terbabas di hadapan rumah beliau.

Selasa, 27 April 2010

Terus berjuang, kerja lebih kuat - Nik Aziz

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 26 April: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kekalahan adalah motivasi untuk terus berjuang lebih kuat bukan berpatah semangat.

Perjuangan menegakkan kebenaran melawan kebatilan katanya tidak boleh berhenti selagi manusia itu masih diberi peluang untuk hidup.

“Selagi hidup kita di muka bumi ni masih ada, perjuangan menegakkan syiar Islam mesti diteruskan, Nabi Muhammad saw berjuang selama 23 tahun dan ia harus diteruskan dalam semua aspek,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekalahan tipis Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor semalam.

Beliau ditemui media selepas merasmikan program pertukaran Pelajar Muhammadiyah Padang Sumatera Barat dengan Yayasan Islam Kelantan di ibu negeri hari ini.

Biarpun kalah dari sudut undi, namun Pakatan Rakyat jelasnya tetap menang dari aspek moral.

Sokongan pelbagai kaum kepada Pakatan Rakyat jelasnya cukup membuktikan Pakatan Rakyat adalah wadah terbaik rakyat negara ini.

Selain itu kekalahan itu menurutnya menjadikan ikatan antara parti dalam Pakatan Rakyat semakin kukuh berdepan Pilihan Raya Umum akan datang.

“Kita mesti ingat di Malaysia ni walaupun kita kalah dalam pilihanraya kecil tetapi bila masuk pilihanraya umum kita menang,” katanya lagi.

Pilihanraya kecil P.94 Parlimen Hulu Selangor dimenangi calon BN P. Kamalanathan dengan majorit 1725 mengatasi calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.

Zaid Akan Bantah Keputusan Pilihanraya Hulu Selangor ?

Oleh Mohd Sayuti Omar

ZAID Ibrahim kemungkinan akan membantan keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor yang berakhir semalam di mahkamah. Ini berikutan berlakunya rasuah secara meluas dalam pilihan raya berkenaan.
Antara bentuk rasuah dilakukan selain pemberian bantuan kerajaan kepada rakyat semasa proses pilihan raya berlaku ialah pemberian wang ringgit melalui agen-agen BN.

Maklumat sedang dikumpul seberapa banyak yang boleh berhubung dakwaan berkenaan. Zaid juga dijangka akan membuat sidang akhbar esok berhubung tindakan yang akan diambil. Dalam pilihan itu Zaid kalah ditangan Kamalanantha dengan kekurangan undi sebanyak 1,725.
Beliau mendapat 23,272 undi manakala Kamalanathan mendapat 24,997. Sebanyak 731 undi yang ditolak. Sehubungan itu juga satu panel terdiri dari kalangan penguam terkemuka akan dibentuk untuk merangka satu memorandum untuk dihantar NGO hak asasi manusia dan pencinta demokrasi tulen di seluruh dunia. Memorandum itu menjelaskan kepincangan berhubung proses perjalanan pilihan raya di negara ini yang dikatakan berat sebelah, tidak ada dan memperalatkan jentera kerajaan.


Memorandum ini bakal menjadi dokumen baru untuk digunakan oleh para pendokong demokrasi tulen bagi mengkritik perjalanan pilihan raya di negara ini. Ia juga nanti akan digunakan oleh Bersih - sebuah badan bertindak dan memperjuangkan pilihan raya bersih dan telus yang pernah berarak menggegarkan negara beberapa tahun lalu.


Sekiranya memoranum ini menjadi kenyataan inilah tindakan pertama secara profesional diambil bagi mempersoalkan kepincangan perjalanan pilihan raya dan demokrasi di negara ini yang dikatakan pincang dan tidak berlaku adil kepada parti pembangkang.


Petiysen ke atas pilihan raya Hulu Selangor itu dan memorandum itu dilihat bakal memberi tekanan baru kepada kerajaan agar berlaku telus dan adil dalam setiap pilihan raya

http://msomelayu.blogspot.com/

Ahad, 25 April 2010

Pengundian bermula dengan jangkaan 56.2 % memihak Zaid

Zulkifli Sulong

HULU SELANGOR, 25 April: Berbekalkan anggaran kemenangan 56.2 untuk Pakatan Rakyat sebagaimana yang diramalkan oleh Zentrum Future Studies, 63,701 pengundi Hulu Selangor mula membuang undi pagi ini.

Mereka membuang undi di 48 pusat pengundian yang menyediakan 136 saluran mengundi di 47 buah sekolah bermula jam 8.00 pagi ini.

Proses pengundian ini diketuai oleh pegawai pengurus pilihan raya, Nor Hisham Ahmad Dahlan iaitu Pegawai Daerah Hulu Selangor.

Pilihan raya kecil ini diadakan ekoran kematian penyandingnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad yang meninggal dunia bulan lalu akibat barah otak.

Pilihan raya kecil ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara ketua penerangan MIC P.Kamalanathan dari BN dan bekas ahli parlimen Kota Bharu Datuk Zaid Ibrahim dari PKR yang mewakili Pakatan Rakyat.

Polis pula menggerakkan lebih 1,000 petugas dan beberapa helikopter bagi memastikan proses mengundi berjalan lancar.

Pilihan raya ini menyaksikan kedua-dua pihak turun dengan sepenuh tenaga yang mereka ada samada di pihak BN atau PR. BN misalnya menurun semua pemimpin utamanya termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir.

Menjadi satu yang luar biasa juga apabila PM turun sendiri secara penuh masa dengan berkempen di seluruh kawasan pilihan raya sedangkan menjadi amalam BN sebelum ini pilihan raya kecil biasanya diserahkan kepada timbalan sahaja.

Malam tadi, Pakatan Rakyat menamatkan sessi kempennya di stadium mini Kuala Kubu Baru. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan lain-lain pemimpin Pakatan berucap di situ. Stadium itu penuh sesak dengan manusia dan dianggarkan sekurang-kurangnya 20,000 memenuhinya.

Sebelum itu, Nik Aziz berucap di Dewan Komuniti Serendah yang penuh sesak dengan orang ramai dari pelbagai kaum.

Namun begitu, dalam pilihanraya ini Nik Aziz dilihat tidak perlu memberikan ucapan yang hebat, cukup sekadar meminta pengundi mengundi Zaid. Beliau hanya perlu hadir, lambaikan tangan dan orang ramai akan memenuhi tempat beliau datang.

Para pemimpin BN, menurut laporan media mereka, yakin akan menang dalam pilihan raya ini. Najib sendiri memberitahu kebinetnya BN akan menang.

Bilik gerakan PAS pula menjangka, calon PR akan menang. "Jika keluar mengundi 75 peratus, kami jangka akan menang sekitar 556 undi," kata Pengarah Operasi jentera pilihanraya PAS, Jamaliddin Elias kepada Harakahdaily dua hari sebelum mengundi.

Bilik gerakan PKR pula melaporkan, sasaran mereka untuk mendapat 43 peratus pengundi Melayu bolehkan dikatakan tercapai. Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail berkata, pihaknya menjangka akan menang.

Zentrum pimpinan Dr Abu Hassan Hasbullah yang membuat kajian lapangan secara agresif kali ini telah mengeluarkan laporan setiap jam semalam. Ia bermula dengan kemenangan berpihak kepada PR diwaktu pagi, BN menang di waktu tengahari tetapi berakhir dengan kemenangan bergaya di pihak PR pada akhir malam tadi 56.2 peratus untuk PR dan 43.8 peratus untuk BN.

Berikut antara statistik yang diberikan oleh Zentrum.

10:00 pagi - BN 47.6% PR 52.4%

11:00 pagi - BN 49.4% PR 50.6%

12:00 tengah hari - BN 50.2% PR 49.8%

1:00 petang- BN 49.3% PR 50.7%

2:00 petang - BN 47.2% PR 52.8%

sumber: harakahdaily.net

Sabtu, 24 April 2010

30,000 di yakini mengundi PKR-DSAI

PKR yakin raih 30, 000 undi

BATANG KALI – Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin mengekalkan penguasaan di Parlimen Hulu Selangor dengan calon mereka, Datuk Zaid Ibrahim akan memperoleh sokongan lebih daripada 30,000 pengundi, esok.

Keyakinan itu disuarakan sendiri Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan hampir 2,000 penduduk ketika berucap di tapak pasar malam di Hulu Yam Baru dekat sini, malam kelmarin.

Menurutnya, walaupun terdapat sebilangan kecil ahli PKR yang lompat parti dan memasuki UMNO namun sedikitpun tidak menggugat keyakinan pengundi untuk memilih calon parti itu pada pilihan raya kecil ini.

“Mereka (UMNO) kata orang PKR orang lompat. Mereka bagi duit dia angkat la..Tetapi mereka tak boleh beli semua rakyat. Mereka boleh beli tiga orangboleh beli 30 orang..tapi 30,000 orang masih sokong kita di Hulu Selangor.

“Saya nak kita menang majoriti semua kaum. Melayu, Cina, India dan Orang Asli sokong Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen berkata, calon yang dipertaruhkan parti itu adalah seorang calon sebenar yang mampu membawa suara rakyat sekali gus membela nasib mereka di Parlimen.

“Saya bukan nak gaduh dengan calon Barisan Nasional (BN) tapi saya mahu tanya P Kamalanathan, dia masuk Parlimen untuk buat apa? Tapi kalau Zaid, dia masuk untuk apa? Dia (Zaid) masuk sebagai hero untuk rakyat. Ini dia kehebatan Zaid,” katanya.

Menurutnya, rakyat di Hulu Selangor semakin bijak menilai calon yang sesuai dan akan menolak pemimp:in yang mengamalkan rasuah serta tidak bersikap telus sebagai seorang pemimpin.

“Saya mahu tunjuk kepada UMNO. Mereka boleh beli orang dengan memberi kontrak untuk lompat parti...Tetapi, rakyat di sini sudah bijak menilai dan mereka akan menolak pemimpin yang mengamalkan rasuah dan tidak telus dalam pemerintahan mereka,” katanya.

sinar harian

Rabu, 14 April 2010

Meng"kualiti"kan anggota PAS


1. Anggota PAS terdiri dari ahli serta pemimpin dan ianya mempunyai peringkat atau marhalah yang berbeza dan pelbagai .

2. Sesuai sebagai anggota kepada sebuah Gerakan Islam , ahli dan pemimpinnya wajar memiliki :

* aqidah perjuangan yang mantap,
* fikrah Islamiyyah yang jelas
* syakhsiyyah [ akhlak ] yang soleh .

Inilah tahap kualiti yang paling minima mesti dimiliki oleh seluruh anggota PAS .

3. Mencapai tahap dan nilai Kualiti anggota PAS yang diperlukan tidak semudah mencari kuantiti . Melalui projek Jom Sertai PAS , PAS For All dan Orang Muda Geng Kita , saya dapati kuantiti cukup mudah untuk dicapai . Setiap bulan pasti ada anggota baru yang akan diluluskan keanggotaan mereka sebagai ahli PAS , malah kini keanggotaan PAS telah mula mencecah sejuta .

4. Apa yang merisaukan saya mutaakhir ini ialah berkait tahap kualiti anggota berdepan dengan kuantiti yang semakin meningkat . Tentu sahaja kemasukan anggota baru adalah dari pelbagai latar belakang dan tidak juga dapat dinafikan betapa kita juga berdepan dengan kemasukan anggota yang mempunyai pelbagai tujuan [ objektif ] yang ingin mereka capai melalui penyertaan mereka dengan PAS .

5. Justeru itu Gerakan Islam membahaskan persoalan intima' [ penggabungan atau penglibatan dan penyertaan ] sebagaimana yang telah dikupas panjang lebar oleh al marhum Ustaz Said Hawwa di dalam kitabnya Jundullah . Intima' yang diterima dan layak untuk sebuah Gerakan Islam seperti PAS ialah intima' al Aqidi iaitu penyertaan berasaskan aqidah perjuangan.

Selasa, 6 April 2010

Panduan Cara Makan Ikut Sunnah Nabi SAW

Nabi SAW pernah bersabda ;
 Kawan-kawan, sebenarnya banyak sekali kebaikan dan kelebihan jika kita mengamalkan sunnah. Ulamak berkata, pada setiap amalan sunnah itu ada keberkatan. Siapa amal sunnah, dia akan mendapat 2 keuntungan. Apa keuntungan itu?
"Barang siapa yang mengikuti sunnahku, bererti dia cinta kepadaku. Dan barang siapa yang cinta kepada ku, maka akan masuk syurga bersamaku."
  1. Pahala yang berlipat ganda
  2. Keberkatan.
Kali ini saya nak kongsikan tentang sunnah-sunnah makan (setakat yang saya tahu). Bolehlah kita sama-sama amalkan.

1. Cara duduk
Seperti duduk tahiyat awal tapi lutut kanan dinaikkan. Posisi duduknya ialah peha/lutut kanan dinaikkan manakala kita duduk pada bahagian kaki kiri.
 
Duduk makan cara sunnah...
Sebenarnya cara duduk sebegini banyak kebaikannya. Posisi ini dapat memberikan keselesaan pada perut dan ia menjaga keseimbangan komposisi ruang dalam perut kepada 3 bahagian. Iaitu 1/3 ruang adalah untuk makanan, 1/3 untuk udara dan 1/3 lagi adalah untuk air.
Ada orang tanya, macammana kalau kita makan atas kerusi/meja? Macam mana nak duduk cara sunnah? Hmm, kalau makan atas kerusi/meja, tak bolehla nak ikut sunnah. Sebab kalau ikut sunnah, makan kena atas lantai. Barulah boleh duduk cara sunnah ni.
Kalau tanya saya, mana satu lebih baik, makan atas lantai ikut cara sunnah atau makan atas kerusi/meja, maka pastinya saya akan jawab, TENTUNYA CARA SUNNAH PALING BAGUS. Sebab di situ ada ganjaran PAHALA dan KEBERKATAN nya. So, terpulanglah pada masing-masing untuk amalkan.

PAS selar tindakan Pemuda UMNO Perak


SHAH ALAM - PAS menyelar tindakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Perak menghantar memorandum kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah supaya darjah kebesaran ditarik balik terhadap dua wakil rakyat pembangkang sebagai taktik politik murahan.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, perbuatan mereka seperti kebudak-budakan dengan melibatkan pihak lain dalam agenda politik untuk menyerang pakatan pembangkang.

“Mereka sepatutnya menyerang dengan hujah yang ''gentleman'' melalui saluran yang betul untuk menyelesaikan konflik berbangkit.

“Mereka perlu belajar cara berpolitik mengikut kerangka Perlembagaan yang demokrasi dan Perlembagaan negara,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, terdapat cara lain untuk membantah secara rasional dengan berhujah dan perbahasan matang antara dua pihak terbabit.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda, Ust. Nasarudin Hassan berkata, Pemuda UMNO Perak tidak berhak campur tangan berhubung penganugerahan yang telah diputuskan sultan.

“Tindakan tersebut keterlaluan kerana seolah-olah mengajar dengan mendesak sultan dan institusi istana mempertikaikan anugerah yang telah diberikan.

“Ini memberi implikasi kepada persepsi rakyat terhadap institusi istana yang dihormati,” katanya.

Menurutnya, sebarang pertikaian perlu diselesaikan antara mereka tanpa perlu membabitkan pihak lain untuk turut terlibat dalam konflik terbabit.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penarikan balik darjah kebesaran terbabit wajar dilaksanakan kerana tindakan dua wakil pakatan pembangkang terbabit yang tidak mengikut nasihat sultan dan mempertikai keputusan mahkamah.

“Mereka sepatutnya menjadi contoh namun perilaku tersebut memberi pandangan buruk kepada rakyat sebagai wakil rakyat.

“Bagaimana rakyat nak hormat sekiranya tindakan mereka sendiri tidak menghormati sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan institusi istana,” katanya.

Beliau berkata, keputusan terbabit terpulang kepada sultan dan pihak istana untuk menarik balik atau sebaliknya.

Asri mahu tubuhkan parti politik?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 April: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin (gambar) dilaporkan sedang berusaha untuk menubuhkan parti politiknya sendiri bagi membolehkan beliau dan rakan-rakannya menyertai pilihan raya.

Menurut sumber, untuk mempercepatkan proses itu, beliau dilaporkan berusaha untuk mengambil alih parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) namun ditolak oleh para pemimpin mereka.

Akim ditubuhkan pada tahun 1995 ekoran tindakan PAS terhadap ketuanya, Musa Salleh. Dalam pilihan raya umum 1999, Akim bertanding dua kerusi parlimen iaitu Kota Bharu dan Pasir Puteh namun kalah kedua-duanya. Presidennya, Hanafi Mamat menyertai pilihan raya kecil Permatang Pauh namun hanya mendapat 92 undi sahaja.


Menurut sumber, ekoran kegagalan untuk mendapatkan persetujuan mengambilalih Akim, Asri sedang berusaha untuk mendaftar sebuah parti politik baru.

Baru-baru ini, Asri telah berhenti menjadi kolumnis akhbar milik Umno, Utusan Malaysia. Ekoran itu, beliau mula menulis dengan laman web Malaysiakini.

Isnin, 5 April 2010

Kerajaan Pakatan terbukti mendahulukan rakyat

Mohd Nor Yahya

PENGKALAN CHEPA, 4 April: Negeri-negeri Pakatan Rakyat ternyata mendahulukan rakyat dalam setiap program, biar pun slogan itu menjadi motto utama kepada Datuk Seri Najib Razak, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

Beliau berkata, banyak dasar dan gerak kerja di negeri Pakatan Rakyat ternyata mendahulukan rakyat.

Di Kelantan ada skim Takaful Kifaalah yang memberi wang saguhati sebanyak RM1,500 kepada setiap warga emas berusia 60 tahun apabila meninggal dunia.

Begitu juga di Selangor ada skim mesra usia emas dan Tabung Warisan Anak. Manakala di Pulau Pinang setiap warga emas menerima RM100.

“Pelbagai program di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan jelas menunjukkan rakyat benar-benar didahulukan,” katanya pada satu program di Putik semalam.

Perdana Menteri melancarkan slogan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan pada 5 April selepas menduduki kerusi perdana menteri.

Idris juga berkata, bagi memastikan rakyat tahu kegagalan Umno dan Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan, program penerangan di peringkat akar umbi perlu diperhebatkan.

Katanya, kegagalan itu berpunca amalan rasuah politik menjadi darah daging mereka.

Kata beliau amalan memberi wang kepada perwakilan ketika pemilihan parti sudah menjadi kelaziman kepada pemimpin Umno.

“Dan sekarang makin teruk lagi apabila kerajaan BN sanggup menjadi agen kepada Yahudi apabila sanggup menggunakan khidmat Apco Worldwide. Ini boleh mengancam keselamatan negara,” ujarnya.

Pada majlis itu beliau juga berharap petugas parti di semua peringkat perlu mengembeleng tenaga menerangkan kepada masyarakat pelbagai isu yang berlaku dalam negara sekarang.

Katanya, PAS mempunyai jentera penyebaran maklumat agak terhad untuk menjelaskan sesuatu isu kepada orang ramai.

“Kita perlu mendekati golongan atas pagar atau di luar pagar supaya mereka faham terhadap apa berlaku,” ujar beliau.

Hadir sama pada program berkenaan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ahmad Yakub dan Datuk Husam Musa

Sabtu, 3 April 2010

Jamaluddin Yang Terliur Mahu Jadi MB Perak

Oleh Misbahul Munir

Saya tidak fikir rakyat Perak boleh percaya Jamaluddin ditawarkan menjadi Menteri Besar Perak oleh Datuk Seri Anwar Ibarahim. Pimpinan PKR Perak dan Pusat sangat tahu latar belakang Jamaluddin. Usahkan Menteri Besar, menjadi wakil rakyat dan EXCO yang baik pun tidak ada pada batang tubuh Jamaluddin.

Peringkat awal semua parti ada calon MB Negeri Perak, DAP pun ada calonnya. Tetapi Undang-undang Tubuh Negeri Perak tidak membolehkan orang bukan Melayu dilantik MB Perak.

DAP akur dengan peruntukan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Nama Jamaluddin juga disebut bakal MB Perak dari PKR kerana dalam PKR dialah yang agak senior dalam parti berbanding adun yang lain.

Jumaat, 2 April 2010

Ikut peraturan,baru selesai masalah: Mursyidul Am

KOTA BAHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mahu semua pihak kembali kepada peraturan bagi mengelakkan berlaku kekecohan sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

Mursyidul Am Pas itu berkata, setiap kekecohan yang berlaku itu berpunca daripada sesuatu sebab.

Menurutnya, dewan adalah suatu tempat yang mulia dan tempat mereka yang cerdik dan tahu mengenai undang-undang untuk membincangkan sesuatu perkara.

"Untuk mengelak perkara seperti itu berlaku, kita kena kembali kepada peraturan dan undang-undang. Kalau akhirat kita kena ikut agama iaitu al-Quran dan hadis, kalau dunia kita kena ikut perlembagaan dan undang-undang. Semuanya adalah peraturan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kekecohan yang berlaku di Parlimen semalam dan Dewan Undangan Negeri Perak antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Tok lebai pun "koccok piyoh"(kopiah) bila......



Jangan kata budak muda, tok lebai gegar serban/kopiah tengok aurat wanita. Inilah yang Islam suruh kita jaga aurat ni. Apabila aurat terjaga, makan maruah terpelihara.
Allah hanya menyuruh kita melakukan dua perkara sahaja, iaitu:
1) buat yang diperintah
2) tinggal perkara yang dilarang
 mudahnya islam.

Khamis, 1 April 2010

“Indah khabar dari rupa”

KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) mempertikaikan tindakan kerajaan mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) semalam, yang dikatakan indah khabar dari rupa dan juga membelakangkan kepentingan Parlimen.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan telah ‘mencedok’ idea MEB daripada kandungan Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) Pakatan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, PR telah mengenal pasti beberapa kandungan utama dalam MEB yang mempunyai persamaan dengan AEM.

Antaranya ialah keperluan mencapai pendapatan tinggi, pembinaan ekonomi yang utuh secara berterusan dan menjamin kesaksamaan dan tumpuan memberi bantuan kepada rakyat tanpa mengira kaum.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, kerajaan sepatutnya membentangkan dasar tersebut di Parlimen terlebih dahulu sebelum diumumkan.

Menurutnya, kerajaan juga perlu mendapatkan pandangan wakil rakyat melalui penubuhan jawatankuasa khas Parlimen untuk meneliti dasar berkenaan, sebelum ia diumumkan kepada rakyat.

“Ini menunjukkan kerajaan tidak serius dengan kedudukan Parlimen dan pengasingan kuasa,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, semalam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, MEB yang dibentangkan kerajaan kelmarin, menunjukkan bahawa kepimpinan semasa kembali kepada dasar yang pernah diamalkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“MEB itu juga menjadi imbasan kembali kepada konsep pensyarikatan dan penswastaan dilaksanakan Tun Dr Mahathir.

“Di mana pihak kerajaan akan melepaskan kepentingannya sedikit demi sedikit dalam sektor perkhidmatan rakyat kepada pihak swasta,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan MEB yang sememangnya dinanti-nantikan yang akan mengubah ekonomi menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan dan inklusif serta menempatkan negara pada landasan betul untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, MEB akan menjadikan Malaysia lebih kompetitif pada peringkat serantau dan global yang menghasilkan manfaat bagi semua rakyat Malaysia di mana pendapatan per kapita masing-masing boleh meningkat kepada AS$15,000 (RM48,910) menjelang akhir dekad, daripada AS$7,000 (RM22,824) sekarang ini

Tugu: PAS syukur Umno henti amalan syirik

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 April: PAS mengucapkan syukur kepada Allah Taala kerana akhirnya Umno/BN mengumumkan akan berhenti melakukan upacara meletakkan bunga dan bertafakur di hadapan Tugu Negara yang jelas perbuatan syirik dan khurafat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, pengumuman Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam membuktikan dakwaan PAS selama ini bahawa perbuatan itu adalah dosa besar Umno kepada Allah adalah benar.

Zahid yang juga Naib Presiden Umno, mengumumkan semalam bahawa upacara memperingati Hari Pahlawan tidak akan dilakukan di Tugu Negara lagi mulai tahun ini dan akan dipindahkan di Putrajaya dalam bentuk majlis yang berbeza.

Idris berkata, PAS tegas menolak amalan meletakkan bunga dan bertafakur di Tugu Negara setiap 1 Julai sempena Hari Pahlawan, dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berbincang pada 6 hingga 7 Oktober 1987 juga telah mengeluarkan fatwa berhubung isu itu bahawa ianya adalah amalan yang bercanggah dengan Islam dan syirik.

“Rakyat, khususnya kaum Melayu selalu bertanya. Apa beza PAS dan Umno, dua-dua parti yang dipimpin Melayu dan Islam, kenapa tidak boleh bersatu?” katanya yang menghargai pemberhentian amalan khurafat itu.

Rabu, 31 Mac 2010

Ulama Tiada Kuasa VS Ulama Ada Kuasa

Oleh MOHAMED HANIPA MAIDIN

Antara isu yang sering dimainkan media ke atas gerakan Islam seperti PAS adalah dakwaan kononnya Pas anti hiburan. Mesej yang cuba dibawa dari dakwaan tidak berasas ini - amat berbahaya untuk memberi kepada gerakan Islam seperti Pas . Memberi sokongan kepada Pas ertinya menyokong supaya industri hiburan ditutup. Tiada konsert, tiada filem, tiada nyanyian. Begitulah fitnah yang sering dimainkan oleh musuh gerakan Islam.

Tidak dinafikan jika yang dimaksudkan hiburan itu adalah satu bentuk keseronokan yang bebas sepenuhnya dari sebarang sekatan dan kawalan maka Pas mengaku bahawa ia memang menentang hiburan sebegitu

Jika yang dimaksudkan dengan hiburan misalnya adalah nyanyian atau lakonan yang melibatkan pergaulan bebas lelaki dan wanita yang tidak terkawal , pakaian yang menjolok mata, senikata dan skrip yang tidak membina keperibadian manusia sepertimana yang ditonjolkan oleh Hollywood atau Bolywood dan ditiru oleh industri hiburan tanahair maka hiburan yang seperti itu akan pasti ditentang oleh Pas meskipun seluruh alam membenci Pas.

Bagi Pas hasrat manusia untuk berhibur adalah satu fitrah manusia. Memandangkan ianya satu fitrah maka adalah mustahil untuk Pas melarang perkara tersebut. Sebaliknya hiburan itu patut disuburkan bagi membantu manusia lari dari masalah dan kerunsingan yang mereka hadapi. Bukankah itu matlamat hiburan ?

Selasa, 30 Mac 2010

7 tempat di Alam Roh.....

Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar
dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A: "Roh itu menuju ketujuh tempat:-


1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.

2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.

3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.

4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut
kehendak mereka.

5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di
bumi
dan tidak di langit sampai hari kiamat.

6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari
minyak
misik.

7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin,mereka
diseksa
berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat."


Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan
dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari
kuburnya:-

1. Orang-orang yang mati syahid.

2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.

3. Orang berpuasa di hari Arafah.


Sekian untuk ingatan kita bersama.

Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang
yang mengajarnya meskipun dia sudah mati.

Ahad, 28 Mac 2010

Hamas gesa pemimpin Arab selamatkan Baitulmaqdis

GAZA - Konflik Israel-Palestin meningkat di Tebing Barat dan Genting Gaza kelmarin menjelang sidang kemuncak Liga Arab di Libya.

Dua pejuang Palestin dan dua askar Israel terbunuh dalam pertempuran sengit dekat kawasan sempadan di tenggara Genting Gaza dan Israel.

Sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam mengaku bertanggungjawab meletupkan bom tepi jalan dekat sempadan Israel dan bandar Khan Younis di tenggara Gaza.

Radio Al-Aqsa melaporkan kumpulan pejuang meletupkan bom yang dipasang di tepi jalan ketika askar Israel melakukan rondaan di kawasan sempadan.

Sementara itu, seorang pegawai Hamas menggesa pemimpin Arab meningkatkan usaha untuk menyelamatkan Baitulmaqdis daripada penempatan haram Yahudi.

"Kesungguhan pemimpin Arab diperlukan untuk menggerakkan usaha meningkatkan tekanan antarabangsa bagi menyelamatkan Baitulmaqdis dan menghentikan pencerobohan Yahudi," kata Ezzat al-Rushok.

"Pemimpin Arab mesti menekan Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah menerusi kepentingan ekonomi negara-negara itu di dunia Arab dan Islam," katanya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu enggan bertolak ansur mengenai Baitulmaqdis dengan mendakwa bandar suci itu adalah milik Israel yang tidak boleh dipisahkan.

Khamis, 25 Mac 2010

Pengguguran Tengku Faris tidak sah - Setiausaha MPN

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 25 Mac: Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Mohd Aiseri Alias berkata, pengisytiharan yang dibuat Datuk Wan Hashim Wan Daud yang melucut kedudukan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhamad Faris Petra (gambar) adalah tidak sah.

“Saya merujuk kepada salinan perisytiharan yang dibuat oleh YB Mulia Tengku Seri Utama Raja, selaku pengerusi Majlis Perajaan Negeri dan Wan Hashim bertarikh 24 Mac yang menamatkan pelantikan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja adalah sama sekali tidak mewakli keputusan Majlis Perajaan Negeri,” katanya kepada media di sini petang ini.

Kata beliau Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan mana-mana keputusan Majlis Perajaan Negeri tidak akan menjadi sah dan terbatal melainkan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi bersetuju dengan keputusan itu.

Oleh itu katanya, Pengerusi Majlis Perajaan Negeri telah bertindak secara bersendirian tanpa memanggil anggota-anggota Majlis Perajaan Negeri bersidang.

“Ini jelas bahawa tindakan di atas adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang tersebut dan ia tidak terpakai,” katanya ketika menunggu keberangkatan pulang Tengku Muhammad Faris Petra di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang ini.

Beza Menteri Islam Brunei dengan Menteri Islam Malaysia

BANDAR SERI BEGAWAN (Brunei): Menteri Hal Ehwal Agama Brunei, Zain Serudin menolak usul ahli Parlimen, Goh King Chin supaya zon khas jual beli arak diwujudkan untuk pelancong bukan Islam.

Zain menegaskan, andai ia diwujudkan, Brunei yang mengharamkan penjualan arak pasti dilaknat Tuhan.
“Yang paling kami takuti ialah laknat Allah. Laknatnya bukan pada mereka yang melakukannya sahaja tapi semua yang berada di negara ini.

“Pelancong yang ingin minum arak boleh minum di negara mereka, malah mereka boleh mandi arak.


“Hari ini mereka mahu zon arak, lepas ini mungkin zon pelacuran, kasino. Kami perlu tolak semuanya dan kekalkan kemakmuran,” tegasnya. - AP

Rabu, 24 Mac 2010

RABBANI-IRTIHAL(versi Arab pergi tak kembali)

Bukan tugas Speaker pujuk Adun letak jawatan

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 24 Mac: "Kenapa ada double standard macam ni? Ini bukan tugas Speaker untuk pujuk-pujuk Adun yang hendak letak jawatan. Speaker kena terima dan maklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk adakan pilihan raya kecil. Kenapa Speaker tidak bertindak profesional?" kata Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua.

Beliau menyatakan sebagai mengulas tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis, Datuk Yazid Mat berhubung Adun Titi Tinggi dari Barisan Nasional, Yip Sun Onn yang menghantar surat peletakan jawatan.

Yip menghantar surat peletakan jawatannya kepada Yazid semalam.

Dalam suratnya itu, Yip berkata peletakannya itu adalah serta merta akibat tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan MCA pusat.

Bagaimanapun, Yazid dilaporkan sebagai berkata, kedudukan Yip masih belum diputuskan lagi dan masih dalam pertimbangan beliau.

Sehubungan itu, Tian Chua mempersoal sikap tidak profesional Yazid yang tidak mahu menerima surat peletakan jawatan dan mengisytiharkan kekosongan kerusi.

Ujarnya, sama ada Yip akan meletakkan jawatan atau tidak, beliau sudah hilang kredibiliti kerana menjadikan kerusi Dun sebagai senjata untuk kepentingan diri sendiri.

"Sama ada Adun Titi Tinggi akhirnya letak jawatan atau tidak, tapi saya anggap Yip sudah hilang kredibilti sebagai wakil rakyat kerana sanggup mempermainkan amanah rakyat sebagai Adun untuk kepentingan parti sendiri," ujarnya.

Namun beliau berkata, sekiranya berlakunya pilihan raya kecil akibat kekosongan kerusi itu, Pakatan Rakyat bersiap sedia untuk menghadapinya dan yakin mempunyai peluang yang cerah untuk menawan kembali Dun tersebut.

"Kita bersiap sedia dan kali ini kami yakin kalau bertanding kita ada peluang cerah untuk menang kerana jelas Adun BN tidak menghormati kerusi dan hanya anggap isu peletakan jawatan sebagai protes terhadap parti," katanya.

Beliau juga yakin dapat menawan undi kaum Cina di kawasan itu.

"Saya percaya kalau bertanding bukan sahaja boleh dapat sokongan majoriti rakyat tapi juga dapat sokongan kaum Cina," katanya.

Mengulas peletakan jawatan itu, Tian berkata Yip Sun Onn mempamerkan sikap wakil rakyat BN yang lebih mementingkan kuasa dalam parti berbanding menunaikan amanah rakyat.

Beliau berkata, perkara itu jelas terbukti apabila Yip sanggup menjadikan kerusinya sebagai pertaruhan semata-mata untuk merebut kuasa dalam parti.

"Ini menujukkan bahawa sebenarnya wakil-wakil BN lebih mementingkan kuasa dalam parti sehingga boleh menggunakan kerusi dalam Dun sebagai pertaruhan untuk merebut kuasa dalam parti.

"Budaya ini sangat tidak sihat dan mencerminkan identiti BN yang kebanyakan wakil rakyatnya mementingkan kedudukan dalam parti lebih daripada amanah yang telah diserahkan kepada mereka," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen petang semalam.

Tian yang juga Ahli Parlimen Batu juga berkata, tindakan Yip yang merupakan Exco tunggal MCA dalam kerajaan negeri ini membuktikan krisis dalaman MCA yang sangat kritikal menjelang pemilihan parti itu pada hujung minggu ini.

"Saya nampak ini mungkin satu permainan untuk menarik perhatian dan peletakan jawatan ini mencerminkan kekecohan di dalam MCA dan kemelut perampasan kuasa dalam MCA.

"Krisis dalaman MCA sangat teruk sehingga sanggup menggunakan kerusi sebagai satu ancaman kepada parti untuk melanjutkan agenda perebutan kuasa dalam parti dan menjelang pemilihan MCA hujung minggu ini kita nampak ia makin kritikal," katanya.

Yip memegang portfolio perumahan dan kerajaan tempatan dan satu-satunya Exco yang digugurkan pada 19 Mac lalu.

Tempatnya digantikan oleh Adun Indera Kayangan, Dr Por Choo Cho, yang juga Setiausaha MCA Perlis.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 Mac 2008 lepas, Yip mendapat 3,399 undi, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Keria Senawi (846) dan Mohammad Radzi Mustaffa (Bebas) pula 1,585 undi.

Berdasarkan daftar pemilih PRU ke-12, terdapat seramai 7,830 pengundi di Dun Titi Tinggi yang melibatkan 73.52 peratus Melayu, Cina (23.2), India (2.8) dan lain-lain kaum (0.59).

Selasa, 23 Mac 2010

Hentikan khidmat firma Israel

KUALA LUMPUR - Kerajaan Pusat dicabar untuk membatalkan pelantikan syarikat Apco Worldwide dalam urusan komunikasi negara, kerana bertentangan dengan dasar luar negara.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyenaraikan segala urusan kerjasama di antara kerajaan dengan Apco termasuk jumlah bayaran yang diberikan kepada syarikat tersebut.

“Saya minta kerajaan perjelaskan siapa Apco, berapa dia dibayar, apa peranan dalam negara ini dalam bidang komunikasi, kesihatan, pendidikan, maklumat dan kesemuanya.

“Sama ada ini berkaitan dengan keselamatan negara ataupun tidak, ia mempunyai hubungan dengan jawapan saya nanti (yang mengaitkan kerajaan dengan sebuah firma penasihat Israel)," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

1Malaysia Najib lompang, tiada pengisian – Presiden PAS

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) menyifatkan slogan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai lompang dan tiada pengisian yang jelas.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat petang semalam berkata, 1Malaysia belum bebas daripada masalah moral di kalangan pemimpin Umno/BN.

"Bukan saya marah 1Malaysia, tapi jangan tulis 1Malaysia besar-besar tapi pengisian tidak tepat. Di negeri saya (Terengganu) contohnya, banyak sekolah didirikan di pedalaman tapi tiada pelajar. Ada kelas yang langsung tidak ada pelajar disebabkan kroni-kroni Umno/BN berebut untuk mendapatkan projek sehingga berlakunya lebihan sekolah.

"Tetapi ada pula di kawasan yang padat penduduk tapi sekolah tidak mencukupi. Bilik darjahnya tak cukup, makmal komputer runtuh kerana masih ada salah urus, rasuah yang perlu disiasat," katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan terdahulu bertanggungjawab terhadap salah guna kuasa dan penyelewengan yang berleluasa hari ini kerana ianya diwarisi oleh mereka.

"Perkara ini berlaku dalam era pemerintahan yang lalu. Jadi kerajaan hari ini harus berani menyatakan kesalahan pemimpin yang lalu," katanya.

Beliau menambah, slogan 1Malaysia akan juga menjadi seperti slogan yang terdahuliu jika kerajaan hanya memikirkan slogan pada zahirnya, tanpa berusaha meningkatkan mutunya.

"Media yang hanya mengiklankan 1Malaysia, sehingga salam pun 1Malaysia, bukan mengisi modal insan akan menyebabkan slogan 1Malaysia menerima nasib yang sama dengan slogan yang terdahulu," katanya.

Ustaz Abdul Hadi turut menyentuh mengenai media yang semakin tidak bermutu kerana lambakan rancangan hiburan yang melampau, mendahului fungsinya sebagai penyebar ilmu dan maklumat kepada rakyat.

"Media ialah alat mengilmukan rakyat tapi sekarang ini media dipenuhi oleh hiburan yang melampau. Media bukan lagi menjadi alat untuk kita mendapatkan ilmu yang berfaedah sebaliknya hanya menjadi penting ketika adanya pilihan raya kerana media digunakan Umno/BN untuk memenangkan mereka.

“Rakyat sedang diperbodohkan kerajaan melalui media dengan menyiarkan iklan-iklan yang melampau menjadikan rakyat lebih berkhayal di alam impian daripada berilmu dan beramal di alam nyata," katanya.

Menyentuh mengenai sistem kehakiman pula, Beliau berkata, sehingga kini sistem itu di Malaysia belum mendapat kepercayaan yang sepenuhnya daripada rakyat.

"Betapa besarnya bidang kehakiman, sehingga Islam meletakkannya dalam perkara fardu kifayah dan menjadi perkara fardu ain pula kepada pengamalnya. Oleh sebab itu, Islam meletakkan sistem ini terpisah dengan sistem lain," katanya