Tok Guru Kesayangan Ummah

Khamis, 1 April 2010

“Indah khabar dari rupa”

KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) mempertikaikan tindakan kerajaan mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) semalam, yang dikatakan indah khabar dari rupa dan juga membelakangkan kepentingan Parlimen.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan telah ‘mencedok’ idea MEB daripada kandungan Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) Pakatan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, PR telah mengenal pasti beberapa kandungan utama dalam MEB yang mempunyai persamaan dengan AEM.

Antaranya ialah keperluan mencapai pendapatan tinggi, pembinaan ekonomi yang utuh secara berterusan dan menjamin kesaksamaan dan tumpuan memberi bantuan kepada rakyat tanpa mengira kaum.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, kerajaan sepatutnya membentangkan dasar tersebut di Parlimen terlebih dahulu sebelum diumumkan.

Menurutnya, kerajaan juga perlu mendapatkan pandangan wakil rakyat melalui penubuhan jawatankuasa khas Parlimen untuk meneliti dasar berkenaan, sebelum ia diumumkan kepada rakyat.

“Ini menunjukkan kerajaan tidak serius dengan kedudukan Parlimen dan pengasingan kuasa,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, semalam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, MEB yang dibentangkan kerajaan kelmarin, menunjukkan bahawa kepimpinan semasa kembali kepada dasar yang pernah diamalkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“MEB itu juga menjadi imbasan kembali kepada konsep pensyarikatan dan penswastaan dilaksanakan Tun Dr Mahathir.

“Di mana pihak kerajaan akan melepaskan kepentingannya sedikit demi sedikit dalam sektor perkhidmatan rakyat kepada pihak swasta,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan MEB yang sememangnya dinanti-nantikan yang akan mengubah ekonomi menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan dan inklusif serta menempatkan negara pada landasan betul untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, MEB akan menjadikan Malaysia lebih kompetitif pada peringkat serantau dan global yang menghasilkan manfaat bagi semua rakyat Malaysia di mana pendapatan per kapita masing-masing boleh meningkat kepada AS$15,000 (RM48,910) menjelang akhir dekad, daripada AS$7,000 (RM22,824) sekarang ini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan