Tok Guru Kesayangan Ummah

Rabu, 31 Mac 2010

Ulama Tiada Kuasa VS Ulama Ada Kuasa

Oleh MOHAMED HANIPA MAIDIN

Antara isu yang sering dimainkan media ke atas gerakan Islam seperti PAS adalah dakwaan kononnya Pas anti hiburan. Mesej yang cuba dibawa dari dakwaan tidak berasas ini - amat berbahaya untuk memberi kepada gerakan Islam seperti Pas . Memberi sokongan kepada Pas ertinya menyokong supaya industri hiburan ditutup. Tiada konsert, tiada filem, tiada nyanyian. Begitulah fitnah yang sering dimainkan oleh musuh gerakan Islam.

Tidak dinafikan jika yang dimaksudkan hiburan itu adalah satu bentuk keseronokan yang bebas sepenuhnya dari sebarang sekatan dan kawalan maka Pas mengaku bahawa ia memang menentang hiburan sebegitu

Jika yang dimaksudkan dengan hiburan misalnya adalah nyanyian atau lakonan yang melibatkan pergaulan bebas lelaki dan wanita yang tidak terkawal , pakaian yang menjolok mata, senikata dan skrip yang tidak membina keperibadian manusia sepertimana yang ditonjolkan oleh Hollywood atau Bolywood dan ditiru oleh industri hiburan tanahair maka hiburan yang seperti itu akan pasti ditentang oleh Pas meskipun seluruh alam membenci Pas.

Bagi Pas hasrat manusia untuk berhibur adalah satu fitrah manusia. Memandangkan ianya satu fitrah maka adalah mustahil untuk Pas melarang perkara tersebut. Sebaliknya hiburan itu patut disuburkan bagi membantu manusia lari dari masalah dan kerunsingan yang mereka hadapi. Bukankah itu matlamat hiburan ?

Selasa, 30 Mac 2010

7 tempat di Alam Roh.....

Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar
dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A: "Roh itu menuju ketujuh tempat:-


1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.

2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.

3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.

4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut
kehendak mereka.

5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di
bumi
dan tidak di langit sampai hari kiamat.

6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari
minyak
misik.

7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin,mereka
diseksa
berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat."


Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan
dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari
kuburnya:-

1. Orang-orang yang mati syahid.

2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.

3. Orang berpuasa di hari Arafah.


Sekian untuk ingatan kita bersama.

Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang
yang mengajarnya meskipun dia sudah mati.

Ahad, 28 Mac 2010

Hamas gesa pemimpin Arab selamatkan Baitulmaqdis

GAZA - Konflik Israel-Palestin meningkat di Tebing Barat dan Genting Gaza kelmarin menjelang sidang kemuncak Liga Arab di Libya.

Dua pejuang Palestin dan dua askar Israel terbunuh dalam pertempuran sengit dekat kawasan sempadan di tenggara Genting Gaza dan Israel.

Sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam mengaku bertanggungjawab meletupkan bom tepi jalan dekat sempadan Israel dan bandar Khan Younis di tenggara Gaza.

Radio Al-Aqsa melaporkan kumpulan pejuang meletupkan bom yang dipasang di tepi jalan ketika askar Israel melakukan rondaan di kawasan sempadan.

Sementara itu, seorang pegawai Hamas menggesa pemimpin Arab meningkatkan usaha untuk menyelamatkan Baitulmaqdis daripada penempatan haram Yahudi.

"Kesungguhan pemimpin Arab diperlukan untuk menggerakkan usaha meningkatkan tekanan antarabangsa bagi menyelamatkan Baitulmaqdis dan menghentikan pencerobohan Yahudi," kata Ezzat al-Rushok.

"Pemimpin Arab mesti menekan Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah menerusi kepentingan ekonomi negara-negara itu di dunia Arab dan Islam," katanya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu enggan bertolak ansur mengenai Baitulmaqdis dengan mendakwa bandar suci itu adalah milik Israel yang tidak boleh dipisahkan.

Khamis, 25 Mac 2010

Pengguguran Tengku Faris tidak sah - Setiausaha MPN

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 25 Mac: Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Mohd Aiseri Alias berkata, pengisytiharan yang dibuat Datuk Wan Hashim Wan Daud yang melucut kedudukan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhamad Faris Petra (gambar) adalah tidak sah.

“Saya merujuk kepada salinan perisytiharan yang dibuat oleh YB Mulia Tengku Seri Utama Raja, selaku pengerusi Majlis Perajaan Negeri dan Wan Hashim bertarikh 24 Mac yang menamatkan pelantikan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja adalah sama sekali tidak mewakli keputusan Majlis Perajaan Negeri,” katanya kepada media di sini petang ini.

Kata beliau Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan mana-mana keputusan Majlis Perajaan Negeri tidak akan menjadi sah dan terbatal melainkan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi bersetuju dengan keputusan itu.

Oleh itu katanya, Pengerusi Majlis Perajaan Negeri telah bertindak secara bersendirian tanpa memanggil anggota-anggota Majlis Perajaan Negeri bersidang.

“Ini jelas bahawa tindakan di atas adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang tersebut dan ia tidak terpakai,” katanya ketika menunggu keberangkatan pulang Tengku Muhammad Faris Petra di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang ini.

Beza Menteri Islam Brunei dengan Menteri Islam Malaysia

BANDAR SERI BEGAWAN (Brunei): Menteri Hal Ehwal Agama Brunei, Zain Serudin menolak usul ahli Parlimen, Goh King Chin supaya zon khas jual beli arak diwujudkan untuk pelancong bukan Islam.

Zain menegaskan, andai ia diwujudkan, Brunei yang mengharamkan penjualan arak pasti dilaknat Tuhan.
“Yang paling kami takuti ialah laknat Allah. Laknatnya bukan pada mereka yang melakukannya sahaja tapi semua yang berada di negara ini.

“Pelancong yang ingin minum arak boleh minum di negara mereka, malah mereka boleh mandi arak.


“Hari ini mereka mahu zon arak, lepas ini mungkin zon pelacuran, kasino. Kami perlu tolak semuanya dan kekalkan kemakmuran,” tegasnya. - AP

Rabu, 24 Mac 2010

RABBANI-IRTIHAL(versi Arab pergi tak kembali)

Bukan tugas Speaker pujuk Adun letak jawatan

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 24 Mac: "Kenapa ada double standard macam ni? Ini bukan tugas Speaker untuk pujuk-pujuk Adun yang hendak letak jawatan. Speaker kena terima dan maklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk adakan pilihan raya kecil. Kenapa Speaker tidak bertindak profesional?" kata Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua.

Beliau menyatakan sebagai mengulas tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis, Datuk Yazid Mat berhubung Adun Titi Tinggi dari Barisan Nasional, Yip Sun Onn yang menghantar surat peletakan jawatan.

Yip menghantar surat peletakan jawatannya kepada Yazid semalam.

Dalam suratnya itu, Yip berkata peletakannya itu adalah serta merta akibat tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan MCA pusat.

Bagaimanapun, Yazid dilaporkan sebagai berkata, kedudukan Yip masih belum diputuskan lagi dan masih dalam pertimbangan beliau.

Sehubungan itu, Tian Chua mempersoal sikap tidak profesional Yazid yang tidak mahu menerima surat peletakan jawatan dan mengisytiharkan kekosongan kerusi.

Ujarnya, sama ada Yip akan meletakkan jawatan atau tidak, beliau sudah hilang kredibiliti kerana menjadikan kerusi Dun sebagai senjata untuk kepentingan diri sendiri.

"Sama ada Adun Titi Tinggi akhirnya letak jawatan atau tidak, tapi saya anggap Yip sudah hilang kredibilti sebagai wakil rakyat kerana sanggup mempermainkan amanah rakyat sebagai Adun untuk kepentingan parti sendiri," ujarnya.

Namun beliau berkata, sekiranya berlakunya pilihan raya kecil akibat kekosongan kerusi itu, Pakatan Rakyat bersiap sedia untuk menghadapinya dan yakin mempunyai peluang yang cerah untuk menawan kembali Dun tersebut.

"Kita bersiap sedia dan kali ini kami yakin kalau bertanding kita ada peluang cerah untuk menang kerana jelas Adun BN tidak menghormati kerusi dan hanya anggap isu peletakan jawatan sebagai protes terhadap parti," katanya.

Beliau juga yakin dapat menawan undi kaum Cina di kawasan itu.

"Saya percaya kalau bertanding bukan sahaja boleh dapat sokongan majoriti rakyat tapi juga dapat sokongan kaum Cina," katanya.

Mengulas peletakan jawatan itu, Tian berkata Yip Sun Onn mempamerkan sikap wakil rakyat BN yang lebih mementingkan kuasa dalam parti berbanding menunaikan amanah rakyat.

Beliau berkata, perkara itu jelas terbukti apabila Yip sanggup menjadikan kerusinya sebagai pertaruhan semata-mata untuk merebut kuasa dalam parti.

"Ini menujukkan bahawa sebenarnya wakil-wakil BN lebih mementingkan kuasa dalam parti sehingga boleh menggunakan kerusi dalam Dun sebagai pertaruhan untuk merebut kuasa dalam parti.

"Budaya ini sangat tidak sihat dan mencerminkan identiti BN yang kebanyakan wakil rakyatnya mementingkan kedudukan dalam parti lebih daripada amanah yang telah diserahkan kepada mereka," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen petang semalam.

Tian yang juga Ahli Parlimen Batu juga berkata, tindakan Yip yang merupakan Exco tunggal MCA dalam kerajaan negeri ini membuktikan krisis dalaman MCA yang sangat kritikal menjelang pemilihan parti itu pada hujung minggu ini.

"Saya nampak ini mungkin satu permainan untuk menarik perhatian dan peletakan jawatan ini mencerminkan kekecohan di dalam MCA dan kemelut perampasan kuasa dalam MCA.

"Krisis dalaman MCA sangat teruk sehingga sanggup menggunakan kerusi sebagai satu ancaman kepada parti untuk melanjutkan agenda perebutan kuasa dalam parti dan menjelang pemilihan MCA hujung minggu ini kita nampak ia makin kritikal," katanya.

Yip memegang portfolio perumahan dan kerajaan tempatan dan satu-satunya Exco yang digugurkan pada 19 Mac lalu.

Tempatnya digantikan oleh Adun Indera Kayangan, Dr Por Choo Cho, yang juga Setiausaha MCA Perlis.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 Mac 2008 lepas, Yip mendapat 3,399 undi, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Keria Senawi (846) dan Mohammad Radzi Mustaffa (Bebas) pula 1,585 undi.

Berdasarkan daftar pemilih PRU ke-12, terdapat seramai 7,830 pengundi di Dun Titi Tinggi yang melibatkan 73.52 peratus Melayu, Cina (23.2), India (2.8) dan lain-lain kaum (0.59).