SHAH ALAM - Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar bersama Pakatan Rakyat (PR) yang dimeterai pada Konvensyen PR yang pertama semalam adalah sejarah baru di negara ini. Beliau berkata, dasar bersama tersebut membuktikan pandangan banyak pihak terutama Barisan Nasional (BN) bahawa gabungan pakatan pembangkang rapuh adalah silap sama sekali. Katanya, dasar tersebut yang mengutamakan nasib rakyat tidak kira agama dan kaum lebih jelas daripada dasar yang dilaksanakan BN yang diterajui UMNO.
“BN tidak mampu dan tidak akan buat dasar sebagaimana yang kita buat pada hari ini. Kita ada dasar jelas yang amat berbeza dengan BN. Kita berpendapat suara rakyat tidak kira dari atas hinggalah paling bawah adalah suara sebenar dan kita perlu ikut.
“Sebagai contoh, dasar bahasa kita jelas, ia adalah kesinambungan kepada Perlembagaan Negara, iaitu bahasa Kebangsaan adalah Bahasa Melayu selain bahasa Cina dan Tamil dijamin,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup pada Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama di sini, semalam. Selain itu, Anwar juga mencabar orang Melayu agar berani bersaing dengan kaum-kaum lain.
“Ada rakan-rakan berkata kepada saya bahawa Melayu masih belum bersedia untuk menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tetapi yang lebih teruk dan memalukan, ada Melayu rasuah sehingga makan berbilion ringgit,” katanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut memberi peringatan kepada semua ahli PR agar tidak terpengaruh dengan konsep 1Malaysia kerana konsep tersebut mempunyai maksud yang tersembunyi. “Biarlah apa pun yang dibawa oleh UMNO/BN, tetapi hasilnya tetap sama iaitu melindungi kelompok rasuah.
“Untuk pengetahuan, kerajaan kita mendapatkan nasihat dari 20 syarikat ternama seluruh dunia untuk menjadikan 1Malaysia manis didengar,” katanya.
Katanya, dengan dasar baru ini, PR mempunyai rujukan bersama dan sudah tentu musuh utama yang perlu dihapuskan dahulu adalah rasuah yang telah menelan RM28 bilion wang rakyat setiap tahun. “Kita akan lawan rasuah habis-habisan, kita tidak benarkan rasuah membiak dalam PR,” katanya.
Konvensyen itu dihadiri lebih 1,500 perwakilan serta Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa. Konvensyen PR ini diadakan bertujuan merangka polisi bersama dan melancarkan logo baru PR yang akan digunakan pada pilihan raya umum akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan