Tok Guru Kesayangan Ummah

Selasa, 15 Disember 2009

Isu ‘letak jawatan’ warnai hujung 2009

Oleh: Mat Zain Mat Isa


Tidak syak lagi isu perletakan jawatan sebilangan tokoh politik menjadi antara bahan bula bicara paling laris mutakhir ini. Sama ada isu tersebut sengaja dicetuskan kalangan anggota parti lawan atau memang disuarakan dari dalam parti mereka sendiri, pertikaian mengenai kedudukan mereka terbukti menjadi antara sajian paling menyelerakan lewat dada akhbar, laman internet mahu pun kaca televisyen.



Sebilangan isu berkisar atas desakan agar pemimpin tertentu meletakkan jawatan, manakala sebahagian lain pula semata-mata berdasarkan spekulasi atau laporan tidak berasas.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa tokoh paling kerap dikaitkan dengan isu perletakan jawatan ialah Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Kiat. Desakan agar beliau mengundurkan diri dari jawatannya datang dari kumpulan ahli parti itu sendiri.

Pada mulanya desakan itu sebagai retaliasi dari pengikut timbalannya yang dipecat, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Bahawa kepimpinan Tee Kiat yang tidak demokratik serta membelakangkan perlembagaan dan perpaduan parti akan menjerumuskan MCA ke kancah perpecahan lebih parah.

Suara serupa kemudiannya kedengaran dari kumpulan diketuai naibnya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, terutama apabila Tee Kiat gagal tunduk kepada keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) parti itu yang menolak kepimpinannya. Suara membantah kepimpinan beliau semakin lantang apabila Tee Kiat memecat sebilangan anggota Jawatankuasa Pusat MCA yang condong kepada Tiong Lai.

Turut didesak meletakkan jawatan ialah bekas Timbalan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Senator Dato’ T. Murugiah. Satu kenyataan oleh Presiden PPP, Dato’ M. Kayveas pada Isnin (30 November) lalu menyebut bahawa Murugiah diberikan masa 14 hari untuk meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Hujahnya, senator itu memperolehi jawatan itu ketika beliau masih menjadi anggota parti. Murugiah dipecat daripada PPP pada 16 Mei lalu.

Pemerintahan DAP di Pulau Pinang juga menjadi medan parti musuh mencari cacat-cela. Fokus segala kritikan dan kacau-ganggu terhadap kerajaan negeri itu ialah Ketua Menterinya, Lim Guan Eng. Para pemimpin dan penyokong Barisan Nasional (BN) tidak henti-henti mendesak beliau berundur kerana didakwa gagal memerintah dengan baik.

Kemuncak desakan itu ialah perhimpunan haram yang dihalalkan BN di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini. Guan Eng bukan sahaja dikecam dan dikutuk, malah posternya dipijak, dikoyak dan dibakar.

PAS juga tidak terlepas dibabitkan dengan isu perletakan jawatan. Paling menjadi tumpuan kecaman dan desakan itu ialah Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mursyidul Am PAS itu didesak berundur dari memimpin kerajaan negeri dan partinya. Kemuncak desakan mereka ialah perhimpunan haram di hadapan pusat pentadbiran kerajaan Kelantan baru-baru ini.

Sementara desakan ke atas Nik Aziz itu datang dari kalangan musuh, suara menggesa Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berundur pula dipopularkan kalangan yang kononnya mahu melihat parti itu lebih berdaya maju.

Tidak dapat dipastikan apakah suara itu hanya dijulang kalangan yang benar-benar ikhlas sayangkan PAS atau ia turut ditumpangi anasir musuh. Namun yang pasti penegasan Abdul Hadi untuk tidak tunduk kepada desakan itu telah meredakan isu tersebut.

Di celah kehangatan desakan itulah tercetus pula dakwaan kononnya Exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan. Laporan akhbar mingguan yang kononnya berdasarkan maklumat sumber dalaman itu dibuktikan semata-mata spekulatif. Penafian beliau sendiri menguatkan andaian bahawa media tali barut BN itu sengaja mensensasikan isu tersebut untuk memporak-perandakan PAS.

Rupa-rupanya spekulasi perletakan jawatan tidak hanya terkena kepada pemimpin pembangkang. Minggu lalu dua pemimpin BN turut menjadi bahan dakwaan media kononnya mereka bakal berbuat demikian. Beberapa akhbar Cina melaporkan Tee Kiat akan melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan ekoran krisis dalaman MCA.

Sebuah portal pula melaporkan Dato’ Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri hasratnya meletakkan jawatan Timbalan Menteri Pelancongan. Alasan disertakan ialah faktor kesihatan, walau pun sumber yang dipetik turut membayangkan ia ada kaitan dengan rasa tidak puas hati beliau terhadap layanan yang diberikan kerajaan Pusat kepadanya dan Sarawak.

Kedua-dua mereka atau wakil mereka yang mengulas laporan itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Mereka malah menganggapnya satu berita yang lucu dan tidak berasas.

Sementara kesemua pemimpin yang didesak atau dispekulasikan sebagai akan meletakkan jawatan itu bertegas tidak akan berbuat demikian, tiba-tiba yang benar-benar meletakkan jawatannya ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam kenyataan oleh Ketua Setiausaha Negara pada Jumaat (4 Disember) lalu, Dato’ Seri Ahmad Said Hamdan dikatakan telah mengemukakan notis bertulis memohon kontrak perkhidmatannya yang sepatutnya tamat pada 25 Mei depan dipendekkan sehingga 31 Disember nanti.

Agaknya inilah yang dikatakan orang-orang tua, ‘lain dijolok, lain pula yang gugur’. Ish! Ish! Ish!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan