Tok Guru Kesayangan Ummah

Jumaat, 11 Disember 2009

Kerajaan Malaysia sudah habis duit?- Salahuddin

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu melaksanakan pelan pemulihan ekonomi bagi mengawal keadaan Negara yang sedang mengalami kemelesetan daripada krisis ekonomi yang kronik.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata Negara memerlukan reformasi ekonomi bagi menjamin pertumbuhan yang lebih pesat.
“Oleh sebab itu, kita serius dalam menilai semua tindakan yang dibuat oleh kerajaan bagi menyelamatkan kewangan Negara yang meruncing.” Katanya kepada Harakah.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang mendakwa kewangan Negara kini semakin parah.
Akhbar China Press pada 2 Disember pula menyiarkan berita yang bertajuk ‘Adakah keadaan kewangan negara hampir menemui ajalnya?’ dalam ruangan Perbincangan Rakyat.
Mengulas lanjut mengenai kenyataan Tony itu, Salahuddin melahirkan kebimbangan kerana pihak yang akan menjadi mangsa kepada situasi ini adalah rakyat.
Hal ini diburukkan lagi dengan cukai baru yang diperkenalkan iaitu cukai perkhidmatan dan barangan(GST)
“Ini (GST) yang paling digeruni kerana ia memangsakan rakyat yang sebelum ini telah pun tertindas.”ujarnya.
Sementara itu, Tony Pua menerusi artikel dalam akhbar China Press itu mendakwa, beliau dimaklumkan”kerajaan sudah tidak ada duit” sebelum bajet 2010 diumumkan pada akhir Oktober lalu.
“Apabila dikaji Bajet 2010, semua menteri tidak kira di dalam dewan atau di luar, berkata kerajaan semakin kehabisan wang. Saya sendiri tidak percaya. Ia memang sangat menakutkan.
“Kerajaan telah gunakan sepenuhnya duit dari sumber petroleum. Setiap sen duit itu semua telah habis digunakan oleh kerajaan.” katanya.
Menurut Salahuddin, paling malang semua duit digunakan untuk pengirisan kerajaan da bukannya untuk menjana ekonomi Negara.
“Akhirnya bayaran balik pinjaman negara semakin lama semakin tinggi” dakwanya.
Oleh itu katanya, kerajaan cuba melakukan apa sahaja untuk mendapat duit. Ini termasuklah yang nampak remeh seperti cukai minimum RM50 untuk setiap kad kredit. Keadaan itu katanya, akan membolehkan kerajaan mendapat hasil tambahan RM500 juta dan ia adalah wang rakyat.
Katanya, pelbagai cukai baru yang membebankan rakyat diperkenalkan termasuk cukai perkhidmatan dan barangan (GST) yang akan dikenakan pada 2011.
“Maka orang kaya atau miskin juga dikenakan cukai. Ketika ini hanya 6.7 peratus penduduk negara ini dikenakan cukai tetapi apabila GST diperkenalkan, semua akan terima beban.”
“Nampaknya dalam tempoh 20 tahun ini, rasuah di kalangan pegawai kerajaan semakin berleluasa dan kini kerajaan kehabisan duit. Kerajaan terpaksa mengemis kepada rakyat, tetapi rakyat sebenarnya menjadi mangsa disebabkan pelbagai cukai tersebut.”
“Kini rakyat semakin sedar bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak cekap menguruskan wang negara,” kata Salahuddin lagi.


sumber: Harakah (Bil 1495)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan