Tok Guru Kesayangan Ummah

Jumaat, 20 November 2009

Penerima Keluarga Mithali didik 12 anak ke menara gading

PEKAN BATU ENAM – Tiada yang lebih menggembirakan bagi seorang bapa, Mohd Omar, 70, selain melihat kesemua anak yang dikasihi berjaya dalam bidang ma-sing-masing. Mohd Omar merupakan penerima anugerah Keluarga Mithali sempena sambutan Jubli Emas Pas Kawasan Kuala Nerus yang diadakan di Sekolah Darul Taqwa, baru-baru ini. Bapa kepada 12 cahaya mata itu berkata, dia memberi penekanan pendidikan kepada anak-anaknya kerana menyedari akan kepentingan ilmu pengetahuan jika mahu mendapat lebih peluang dalam segala perkara. “Sejak dari kecil lagi mereka (anak-anak) telah dilatih untuk sentiasa memberi tumpuan kepada pendidikan, termasuk ilmu agama. “Sebagai bapa saya inginkan yang terbaik kepada anak-anak walaupun sesusah mana sekalipun, saya akan pastikan semua keperluan mereka dipenuhi agar tumpuan pembelajaran tidak terganggu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada majlis peng-anugerahan berkenaan. Menurutnya, hampir kesemua anaknya melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi dan masing-masing menyandang jawatan tinggi dalam bidang yang dipelajari. “Meskipun kebanyakan mereka sudah mempunyai keluarga sendiri, tetapi saya sentiasa ingatkan mereka agar jangan lupa asal-usul dan sentiasa berpegang teguh pada agama,” kata peng-usaha kayu yang berasal dari Teluk Pasu ini. Mohd Omar berkata, isterinya, Misbah Musa, 59, turut memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak, terutama ketika berada di rumah bagi memastikan pembelajaran mereka sentiasa dipantau. Menurutnya, dia bersyukur menerima anugerah tersebut, tetapi lebih bangga kerana penghargaan itu disampaikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan