Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
BN dan PAS sama-sama menunggu berlakunya pilihanraya kecil kawasan DUN Kota Siputeh. Menunggu dalam keadaan tidak pasti sebenarnya lebih menyeksakan dari penantian dalam pasti.
Kedua-dua pihak sama-sama sudah turun gelanggang mengatur strategi. Rakyat Kota Siputeh sudah terasa bahang pilihanraya. Macam biasa, BN tidak turun dengan modal air liur sahaja. Siapa pun sudah tidak sudi lagi dengar cerita dongeng BN. Apa yang diucapkan oleh radio, tv dan akhbar tali barut BN siang malam, itulah juga yang mahu dipropagandakan sepada rakyat di pentas pilihanraya. Rakyat dah muak. Dah tahu apa yang mereka nak kata. Mahu tak mahu, BN terpaksa jadi Santa Claus. Itulah satu-satunya cara ‘kempen’ yang dirasakan paling berkesan oleh mereka.
Cuma dalam situasi siapa pun tidak tahu sama ada akan berlaku pilihanraya atau tidak, jika siang malam asyik menghambur habuan demi untuk mengubah sikap rakyat; maka Santa Claus pun boleh kurus dan botak kepala.
Sebagai dimaklumi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memperoleh perintah penangguhan terhadap perintah pelaksanaan pilihanraya bulan lalu. Ini bermakna pilihanraya kecil Kota Siputeh tidak akan diadakan dlam masa terdekat, berikutan mahkamah terlebih dahulu akan mendengar rayuan bekas ADUN Dato’ Abu Hasan Sarif. Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Sulong Mat Jeraie memutuskan wujud keadaan istimewa atau luar biasa untuk penangguhan tersebut.
Mahkamah bersetuju dengan pendapat Peguan Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md Said sekiranya penangguhan itu ditolak, SPR harus mengadakan pilihanraya yang melibatkan perbelanjaan yang tinggi.
Sebelum itu Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa Khas) menolak permohonan SPR untuk menangguhkan keputusan perisytiharan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh sebagai kosong pada 16 November lalu.
Manakala di luar mahkamah, jumhur para peguam berpendapat bahawa calon BN dan SPR hanya akan berpeluang menangguhkan pilihanraya sahaja tetapi untuk mengelak berlaku pilihanraya amat sukar. Ini kerana terlalu jelas bahawa Datuk Abu Hasan hilang kelayakan mengikut perlembagaan tubuh kerajaan negeri Kedah. Jika Augustine Paul masih hidup pun, dia tidak diduga tidak dapat mentafsir undang-undang yang terlalu jelas itu untuk mengikut kehendak BN.
Maksudnya apa yang BN dan sekutunya SPR lakukan sekarang hanya melambat-lambatkan permainan supaya pihak lawan tidak menjaringkan gol kemenangan. BN mungkin menangguhkan rayuan atau melambat-lambatkan proses perbicaraan sehingga berakhir tarikh 8 Mac 2011. Maka pilihanraya kecil tidak perlu diadakan lagi. Bagi BN tidak menang pilihanraya kecil lebih baik dari kalah. Dengan tidak berlakunya pilihanraya maka hasrat untuk tidak kalah boleh tercapai, dalam keadaan PAS pun tidak menang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan