PUCHONG - ”Saya berjanji takkan ambil sesen pun duit rakyat Selangor selepas dilantik menjadi Penasihat Ekonomi negeri ini,” kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan 2,000 penduduk di sini pada ceramah Perdana Isu Semasa, malam kelmarin.
Anwar berkata, meskipun ditawarkan elaun oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk jawatan itu namun beliau menolaknya demi untuk meningkatkan kepentingan rakyat.
“Dalam negeri ini, saya tidak akan mengambil wang rakyat. Tetapi di luar sana (luar negara ) selepas memberi ceramah dan sebagainya, saya akan ambil dan bawa masuk ke sini.
“Mereka (negara luar) berminat dengan apa yang diperkatakan dan dibincangkan terutama dari segi ekonomi,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, ahli Exco Kerajaan Negeri, Yaakob Sapari dan bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng.
Dalam ucapannya Anwar mendakwa beliau cukup kesal apabila Kerajaan Pusat didakwa tidak pandai mengurus ekonomi dalam negara ini.
“Pada tahun 1990-an di Asia negara ini adalah nombor satu dalam mencapai pertumbuhan dan pelaburan ekonomi tetapi kini banyak negara sudah kalahkan.
“Ia nyata menunjukkan pemimpin UMNO yang rasuah tidak tahu mengurus ekonomi negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan