SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tetap berpendirian bahawa masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak tidak harus menggunakan lagi kalimah ‘Allah’ di gereja masing-masing untuk merujuk kepada Tuhan dalam bahasa kebangsaan.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, dalam isu ini kerajaan tidak harus menggunakan dua jenis undang-undang dalam menguatkuasakan soal larangan penggunaan kalimah tersebut.
Menurutnya, semua pihak perlu menghormati undang-undang sedia ada bagi mengelakkan perkara-perkara yang bermasalah berlarutan
“Negara kita yang ini kecil kini sudah mengalami ‘mobiliti sosial’ yang bermaksud rakyat di Sabah dan Sarawak kini ramai berhijrah di semenanjung begitu juga sebaliknya.
“Oleh yang demikian, peraturan penggunaan isu kalimah ini perlu diselaraskan kerana sekiranya orang Islam bekerja di Sabah mereka akan sukar menerima perubahan penggunaan Kalimah ‘Allah’ di sana dan begitu juga sebaliknya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa kerajaan membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak untuk merujuk Tuhan dalam Bahasa Kebangsaan.
Wan Mohamad berkata, oleh kerana sudah ada peraturan mengenai perkara sedemikian, maka adalah tidak wajar kalimah ‘Allah’ digunakan oleh pihak gereja.
“Dalam apa pun dasar kita, kita seharusnya menghormati keputusan jemaah menteri walaupun ada undang-undang peringkat negeri.
“Kalau ikut semangat menghormati undang-undang, keputusan sudah ada di peringkat nasional, mereka tidak sepatutnya gunakan (kalimah Allah),” katanya.
Menurutnya, keputusan hanya membenarkan gereja di Sabah dan Sarawak tidak akan menyelesaikan masalah berikutan mobilisasi dan penghijrahan rakyat dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan