Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Apabila kita menjejak kaki ke tahun 2010, rakyat Kedah sepatutnya jangan lupa akan slogan ‘Kedah Maju 2010’. Jika BN masih terus memerintah Kedah selepas pilihanraya umum ke 12 lalu sehingga ke saat ini, maka seluruh penduduk Jelapang Padi ini menjadi rakyat yang sangat bertuah. Apa tidaknya, pada tahun 2010 yang sedang kita tempuhi ini Kedah sudah menjadi negeri maju. Hampir tiada lagi rakyat miskin di Kedah. Semuanya kaya raya.
‘Kedah Maju 2010’ adalah slogan ciptaan Menteri Besar terdahulu, Dato’ Seri Syed Razak Syed Zain. Ia dicanangkan sebagai satu wawasan negeri serta diwarwarkan di mana-mana. Macam Najib mencanang 1Malaysia.
Semua program kerajaan negeri pada masa itu diarahkan untuk mencapai wawasan Kedah Maju 2010. Dari papan iklan gergasi, hingga kepala surat slogan ‘Kedah Maju 2010’ menjadi paparan wajib. Dengan latarbelakang sosioekonomi Kedah yang masih ketinggalan pada masa itu, slogan pemimpin BN itu sangat tidak realistik. Semua pegawai kerajaan sedar hal tersebut. Tetapi itulah kelebihan seorang pemimpin apabila kuasa ada di tangan. Ia boleh menggagaskan sesuatu yang mengikut kehendaknya sekalipun tidak logik atau menyusahkan semua orang. Orang bijak pandai di keliling kelalang terpaksa mengikut saja.
Menteri Besar sebelum Syed Razak, Tan Sri Sanusi Junid lebih hebat dan canggih ideanya. Macam-macam ‘perkara pelik’ diperkenalkan kepada rakyat. Tapi semua tahu bahawa idea tanam padi atas bumbung, program jalan air Langkasuka, kelab bola masjid, University of Tomorrow , pusat lembu korban; semuanya menemui jalan buntu.
Dato’ Seri Mahdzir Khalid Menteri Besar yang bersikap realistik. Dia tidak minat dengan slogan bohong, lalu menghapuskan terus ‘Kedah Maju 2010’. Mana tidaknya, sewaktu beliau berkuasa, empat tahun menjelang tahun 2010, hutang Kedah hampir mencecah 2 Billion. Ditakdirkan Mahdzir dan BN rebah terguling sebelum 2010 dan hutang sejumlah melebihi RM2 Billion itu yang dihadiahkan kepada kerajaan Pakatan. Maka tiadalah seorang pun yang berakal dapat menuduh bahawa kerajaan Pakatanlah yang menggagalkan wawasan menjadikan Kedah maju pada tahun 2010. Setidak-tidaknya lega juga Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.
Di kalangan beberapa Menteri Besar Pakatan, memang Ustaz Azizan lebih ‘lega’ berbanding yang lain. Malahan lebih selesa berbanding Menteri Besar BN Terengganu sendiri. Serangan ganas ala regim Zionis media-media BN terhadap semua Menteri Besar Pakatan menjadi tumpul bila dihalakan terhadap Ustaz Azizan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pernah memberitahu bahawa beliau tidak rasa ‘risau’ apabila Ustaz Azizan berdepan dengan media. Adakah bermakna beliau merasa ‘risau’ jika pemimpin Pakatan lain dihalakan mikrofon wartawan berhubung sesuatu isu kontroversi? Memang betul, dalam beberapa isu tertentu, jawapan ‘loyar buruk’ Ustaz Azizan sudah cukup untuk mematikan terus permainan jahat media tali barut BN memanipulasi isu.
Satu lagi sikap yang dapat mengukuhkan kepimpinan negeri Kedah dari menjadi mangsa serangan ialah bersikap realistik. Realistik dalam sikap, tindakan dan halatuju. Semua rakyat Kedah mahu jika negeri ini maju pada tahun 2010, tapi jika slogan maju dicanang sewaktu ada rakyat Kedah membeli beras dengan menjual kura-kura, ia menjadi kayu ukur perihal kemampuan berfikir pemimpin tersebut. Tanam padi atas bumbung adalah simbol kemajuan, tetapi jika ia dilaksanakan sewaktu beribu-ribu ekar tanah di negeri ini ditanam dengan lalang dan belukar; maka agenda itu hanya akan menjadi gelak ketawa rakyat.
Ustaz Azizan tidak mengumum dasar menjadikan Kedah negeri perindustrian yang maju (walaupun bidang itu tidak dikesampingkan), sebaliknya mahu jadikan Kedah Belanda Malaysia ; iaitu sebuah negeri yang terkemuka di bidang pertanian. Ia dibuat dilaksanakan dengan penuh kesungguhan. Kepakaran dari luar dipelajari dan teknologi mereka dikembangkan di sini.
Sewaktu Sidang DUN baru-baru ini, Exco yang terbabit dengan pertanian diuji dengan beberapa soalan berkaitan. Jawapan yang diberikan seolah-olah taklimat yang disampaikan oleh pakar pertanian. Exco dari Pakatan betul-betul mengkaji dan mendalami. Ia berbeza dengan pemimpin kerajaan dari BN dulu yang kebanyakannya menyerahkan bulat-bulat kepada pegawai.
Betul kata Sanusi Junid sewaktu menjadi menteri dulu; “Nak jadi menteri bukan susah, yang penting Perdana Menteri kenal kita. Kalau wartawan tanya (bidang kementerian kita) jangan dok layan sangat, nanti depa tau kita tak tau apa…”
Hari ini, Kedah sudah menjalin kerjasama dengan Thailand untuk melaksanakan projek menanam kurma. Percubaan dan kajian secara serius telah dibuat di Merbok. Ia dijangka berjaya kerana menurut kajian, tanahnya dikatakan sesuai.
Bayangkan jika projek tanam kurma ini dilancarkan di zaman Sanusi Junid, maka rakyat akan melihat bahawa ia macam projek tanam padi atas bumbung. Tetapi apabila diadakan di zaman Ustaz Azizan, maka tiada siapa yang nak tetawakan kerana tahu semua dasar yang dibuat adalah realistik. Memang realistik, tidak macam Umno yang ‘plastik’ (pinjam istilah Tok Guru Nik Aziz). http://warta-utara.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan