Tok Guru Kesayangan Ummah

Isnin, 18 Januari 2010

Mahkamah terima permohonan batal mufarakah Dr Rosli, Ilyani

KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, memutuskan menerima permohonan yang failkan bekas Ketua Penerangan Pemuda Pas Negeri Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kader dan isteri keduanya, Ilyani Mohd Noor untuk membatalkan perintah mufarakah yang dikeluarkan mahkamah terhadap mereka.

Pada prosiding semalam, Hakim Syarie, Mohd Yusoff Awang semasa membacakan keputusannya memberitahu, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar, memutus dan mengacarakan kes ini.

“Isu yang timbul di hadapan mahkamah sekarang ini adalah permohonan yang difailkan defendan 1 dan 2 (Dr Rosli dan Ilyani) mempunyai bukti kukuh untuk membenarkan mahkamah membatalkan perintah mufarakah terhadap pasangan itu.

“Setelah meneliti keterangan afidavit sokongan yang difailkan peguam defendan dan plaintif, saya berpuas hati dengan tuntutan plaintif membatalkan perkahwinan defendan sebelum ini kerana diakad nikah oleh wali hakim yang bukan wali hakim yang sah,” katanya.

Menurutnya, daripada keterangan yang diterima, afidavit itu menunjukkan dengan jelas yang defendan 1 dan 2 dinikahkan jurunikah sindiket.

“Saya berpendapat bahawa tuntutan Mohd Noor Che Man (plaintif) telah terjawab dan selesai.

“Defendan 1 dan 2 telah berkahwin semula pada 22 Disember 2009 dan saya menganggap bahawa perbicaraan kes induk pertama tidak lagi praktikal dan tidak bermakna lagi kerana hanya akan merugikan masa mahkamah jika tuntutan itu diteruskan,” katanya.


Beliau berkata, hal itu disebabkan defendan 1 dan 2 telah mengaku kesalahan mereka terdahulu.

“Selain itu, hujah peguam plaintif bahawa defendan 1 dan 2 membuat permohonan kerana melarikan diri dari didenda setelah melanggar perintah mufarakah yang diputuskan mahkamah sebelum ini tidak dapat diterima mahkamah lagi.

“Tuntutan ini mempunyai asas dan perkara yang berasingan dengan tuntutan awal,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, dengan alasan di atas, mahkamah dengan ini memutuskan permohonan tuntutan defendan 1 dan 2 diterima dan perbicaraan kes induk dibatalkan.

“Perintah mufakarah yang dikenakan ke atas defendan 1 dan 2 juga dibatalkan.

“Selain itu, defendan 1 dan 2 dibenarkan mendaftar dan meneruskan perkahwinan kedua mereka yang berkahwin di Kampung Bangsal Wakseng, Yarang, Pattani, Thailand,” katanya.

Dr Rosli, 35 dan Ilyani, 30 yang diwakili peguam Mustafa Kamal Mat Hassan bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan yang diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi, semalam.

Sementara itu, Mohd Noor, 56, yang diwakili peguam Mohd Zaki Zainal Abidin pula dilihat hadir ke mahkamah ditemani keluarga terdekat.

Mohd Zaki yang ditemui pemberita selepas keputusan kes itu berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan pada hari ini (semalam) bagi membolehkan Mahkamah Rayuan mengadili semula keputusan yang diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi itu.

“Keputusan yang diputuskan Hakim hari ini adalah satu keputusan yang ganjil kerana keputusan dibuat tanpa diperdengarkan dahulu.

“Keputusan hari ini (semalam) juga boleh dianggap sebagai pengajaran kerana bekas pemimpin boleh melakukan perkara seperti ini. Jadi orang ramai juga berpeluang menjadikan kes defendan sebagai contoh untuk mengulangi perkara yang sama,” katanya.

Menurutnya, keputusan tersebut juga seolah-olah tiada keadilan bagi seorang wali yang sah.

“Anak yang dipelihara sehingga 30 tahun boleh diambil dan dinikah seseorang sesuka hati dengan membelakangkan keluarga terutama bapa yang merupakan wali sah yang masih lagi hidup,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan