Tok Guru Kesayangan Ummah

Rabu, 13 Januari 2010

Nik Abduh berhak buat keputusan: MB

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau tidak campur tangan berhubung keputusan anaknya, Nik Mohd Abduh, 40, untuk melepaskan jawatannya sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu–Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Pengarah Binaraya Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Sdn Bhd, sebuah anak syarikat PKINK.

Nik Abdul Aziz berkata, anaknya itu berhak membuat keputusan sendiri tanpa merujuk atau mendapat nasihat dan pandangan daripadanya.

“Itu dia punya pasal. Ikut dia. Dia memang orang berniaga. Dia berniaga, bagus. Saya setuju. Anak saya ini ada yang mengajar, berniaga ada hak politik macam-macam.

“Beliau sudah dewasa dan tidak perlu berbincang dengan saya terlebih dahulu sebelum beliau membuat keputusan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, sekembali daripada Kuala Lumpur, semalam.


Mengulas mengenai keputusan anaknya itu, beliau berkata, beliau tidak boleh menghalang minat orang lain.

“Nak halang macam mana, masing-masing minat orang. Saya minat politik, berniaga saya tak minat. menanam pokok itu minat saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Nik Abduh mengumumkan untuk melepaskan jawatan lantikan politik dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

Nik Abduh memegang dua jawatan iaitu ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan Pengarah sebuah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Binaraya PKINK Sdn. Bhd.

Nik Abduh dilaporkan berkata, bagi jawatan di Binaraya, beliau akan menunggu sehingga kontrak tamat pada tahun ini.

Namun beliau berkata, sekiranya ada tawaran baru beliau akan melepaskannya (menolak) kerana kebiasaannya lantikan ini akan disambung pada setiap tahun.

Nik Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi tumpuan kepada pelajaran di samping perniagaan yang menyebabkan beliau terpaksa berulang alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

Sehubungan dengan itu, Nik Abduh berkata, beliau telah memaklumkan hasratnya untuk tidak menerima pelantikan sebagai ahli majlis MPKB kepada parti melalui lisan sebelum disusuli dengan surat rasmi.

Pada 25 November lalu, Nik Abduh dalam blognya menyatakan hasratnya untuk melepaskan semua jawatan lantikan politik dalam Kerajaan Negeri kerana ingin menyambung pelajaran namun, ramai pihak melihat pengunduran Nik Abduh mempunyai kaitan dengan kemelut yang melanda keluarganya itu.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun supaya akhbar terbabit bersedia menggugurkan tuntutan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mereka bagi memelihara keharmonian kaum dan agama di negara ini, Nik Aziz berkata beliau bersedia menerima cadangan itu.

“Saya boleh terima cadangan itu tetapi itu masalah kedua,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan