KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi kata dua kepada pemimpin dalam Pakatan Rakyat (PR) agar tidak mengamalkan budaya tidak sihat seperti rasuah, cah keting dan kronisme sekiranya mahu terus mendapat tempat di hati rakyat.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, sejarah telah membuktikan bahawa sesebuah parti tidak kekal dan diterima rakyat selamanya jika pemimpinnya mengamalkan budaya berkenaan dan tidak menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat.
“Saya memberi ingatan kepada pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat supaya mereka menunaikan tanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat dan tidak melakukan perkara buruk seperti cah keting, kronisme, rasuah dan sebagainya.
“Sebaliknya, mereka akan terus diterima rakyat dan menjadi sebuah kerajaan yang berwibawa,” katanya kepada pemberita selepas meraikan rombongan Ahli Parlimen Kapar, di kediaman rasminya di JKR 10, di sini, semalam.
Hadir sama, Ahli Parlimen kawasan itu, S Manikavasagam dan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kapar, Mohd Bakir Abd Wahab.
Nik Abdul Aziz berkata, beliau yakin gabungan Melayu, India dan Cina di dalam PR akan berkekalan jika pemimpin parti itu tidak mengamalkan perkara negatif seperti yang telah diamalkan oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Saya minta benda yang sama jangan ada di dalam PR. Kalau perkara yang sama ada di dalam PR orang akan buang pula kita. Lebih lagi benda ini dari segi Islam berdosa. Kita hidup seronok, kita tinggal pengundi kita. Ini berdosa.
“Kita kena tolong pengundi, kita jangan ada rasuah, jangan ada cah keting, jangan ada tender secara senyap-senyap. Kalau nak buat tender, biar tender terbuka.
“Di Kelantan ini, saya usaha juga sebolehnya supaya projek-projek dibuat secara tender terbuka. Kita beri kepada yang berkemampuan, yang mempunyai kewangan yang kukuh dan berpengalaman...yang itu kita bagi projek,” katanya.
Beliau berkata, sebaiknya tender yang dikeluarkan itu tidak diberikan kepada pemimpin politik sebaliknya, diberikan kepada kontraktor yang lebih layak dan berkemampuan menjalankan projek.
“Kalau kita beri kepada dia (pemimpin politik), dia bagi kepada orang lain pula. Akhirnya harga projek jadi mahal...orang politik lagi ambil, jual jadi Ali Baba lagi. Ini perkara negatif di dalam UMNO. Jangan ada di dalam PR,” katanya.
Beliau berkata, peringatan itu diberikan berdasarkan pengalamannya yang luas sepanjang berkecimpung di dalam politik.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengganti bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, Nik Abdul Aziz berkata, calon untuk menjawat jawatan itu telah pun dipilih.
“Ada dah pengganti Arif... siap dah. Cuma tak boleh umum lagi,” katanya.
23 November lalu Nik Abdul Aziz Nik Mat mengarahkan menantunya, Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan sebagai CEO di PMBK bagi membendung fitnah yang disebarkan oleh pihak tertentu terhadap kepimpinan Pas daripada terus merebak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan