Oleh Mohd Zuharman
KOTA BARU, Lokasi ceramah perdana berhubung isu royalti petroleum 28 Jan ini, yang akan disampaikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, dipindahkan ke Stadium Sultan Mohd IV di sini ekoran sambutan menggalakkan daripada rakyat negeri itu.
Sebelum ini ia dirancang untuk diadakan di Dewan Utama Kelantan Trade Centre (KTC).Pengerusi bersama Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar), Dr Abdul Halim Yusof ketika dihubungi berkata pihaknya terpaksa mengubah lokasi ceramah memandangkan permintaan yang terlalu besar.
Saya mendapat tindak balas ini melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan seeloknya ceramah itu diadakan di stadium supaya kesesakan tidak menghalang laluan jalan raya bila ia dibuat di dewan KTC.
“Dan hari Jumaat lepas Gegar telah maklumkan perkara ini kepada Tengku Razaleigh dan Tengku juga setuju ceramah itu diadakan di stadium,” katanya.
Program ceramah perdana melibatkan bekas pengerusi itu adalah salah satu dari siri ceramah secara roadshow yang akan dianjurkan Gegar di seluruh Malaysia.
Ia diadakan bagi memberi penerangan dan penjelasan tentang royalti petroleum mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 dari perspektif orang yang bertanggungjawab membuat draf undang-undang berkaitan.
Dalam pada itu difahamkan satu taklimat berhubung wang ihsan juga akan diadakan di salah sebuah hotel di Kota Baru sebelum ceramah perdana tersebut berlangsung.
Program tersebut dianjurkan Umno Kelantan.
Difahamkan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Mustapa Mohamad sendiri akan menyampaikan taklimat berkenaan.M/Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan