Tok Guru Kesayangan Ummah

Selasa, 5 Januari 2010

Katolik perlu berhati-hati guna kalimah ALLAH

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 5 Jan: Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) menyeru pihak agama Katolik agar berhati-hati menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Herald Weekly sebagaimana keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009 lalu yang membenarkan penggunaannya.Presidennya, Zaid Kamaruddin berkata, ini kerana umat Islam amat sensitif jika nama Allah dikaitkan dengan perkara yang tidak selayaknya bagi Allah.
Menurutnya, isu itu jauh lebih sensitif daripada isu kartun Nabi Muhammad yang disiarkan oleh media di Denmark tidak lama dahulu.
Mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu, beliau berkata ia bercanggah dengan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada orang Islam yang telah digazetkan di sepuluh buah negeri.
“Oleh kerana keresahan ini timbul ekoran keputusan mahkamah, JIM berpandangan penyelesaiannya juga harus dicari melalui proses undang-undang. JIM menyokong usaha segera kerajaan untuk merayu dan untuk memohon penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Pusat Komuniti JIM, Pusat Bandar Melawati, di sini hari ini.
Justeru, katanya JIM menyeru semua pihak supaya memberi peluang proses undang-undang (due process) berjalan tanpa tekanan mana-mana pihak.
Beliau juga menyeru semua pihak agar memastikan respons kepada keputusan mahkamah itu tidak menjerumuskan Malaysia kepada kekacauan di antara penganut-penganut agama.
“JIM berharap isu ini diselesaikan dengan segera supaya ia tidak membawa kepada polarisasi di kalangan rakyat Malaysia, hingga memberi kesan jangka panjang,” ujarnya.
JIM juga, tambahnya berharap satu lagi pihak, difahamkan Sidang Injil Borneo, yang akan membuat tuntutan yang sama di mahkamah supaya menangguhkannya sehingga kes yang ada sekarang selesai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan