Tok Guru Kesayangan Ummah

Rabu, 6 Januari 2010

Pas tolak tindakan provokatif

KUALA LUMPUR - Pas menolak sebarang tindakan agresif dan provokatif berhubung isu penggunaan kalimah Allah kerana dikhuatiri boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang, mengingatkan semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan masyarakat atau menjadikannya modal politik murahan untuk mendapat sokongan.
Menurutnya, Pas juga bersedia menjelaskan isu tersebut kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana harmoni, berdasarkan prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan dan agama Islam. “Pas menyatakan pendirian bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenarkan untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.
“Bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini,” katanya dalam kenyataan yang dibacakan oleh Ketua Penerangannya, Idris Ahmad.
Abdul Hadi berkata, Pas juga amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan Islam dan termaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya, dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira untuk kepentingan awam bagi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali pula berkata, untuk sementara waktu Pas akan mengguna pendirian itu sebagai pandangan tetap dan akan mengikuti perkembangan isu tersebut sebelum mengeluarkan kenyataan susulan. Pendirian tersebut diputuskan dalam Mesyuarat khas Lajnah Politik Pas, berikutan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan perkataan Allah digunakan dalam majalah mingguan terbitan gereja Katolik, :Herald- The Catholic Weekly.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan